JEDDAH, 9 JAN – Bintang remaja, Gavi dan Lamine Yamal mengemudi Barcelona ke final Piala Super Sepanyol dengan kemenangan 2-0 menentang Athletic Bilbao kelmarin, walaupun bermain tanpa Dani Olmo selepas lesennya untuk bermain ditarik balik.
Pemain tengah Sepanyol, Olmo dibenarkan bermain semula secara sementara sebelum perlawanan tetapi keputusan itu terlalu lewat buatnya atau Pau Victor yang juga dalam situasi yang sama, beraksi menentang pemenang Copa del Rey, Athletic.
Gavi meletakkan Barcelona di depan dari jarak dekat selepas 17 minit dan pemain sayap remaja, Yamal menjaringkan gol kedua pada awal babak kedua.
Manakala, juara Sepanyol dan Eropah, Real Madrid, berdepan naib juara piala Mallorca hari ini pada separuh akhir kedua di Arab Saudi, di mana pertandingan seumpama itu telah diadakan sejak beberapa tahun terakhir.
“Athletic adalah pasukan yang mempunyai kekuatan fizikal yang membuatkan kami banyak berlari, kami telah mengha-dapi kesukaran lebih-lebih lagi menjelang penghujungnya, tetapi kami berasa sangat gembira dapat bermain dengan baik,” kata Yamal kepada Movistar.
Pemain sayap itu berkata Olmo dan Victor gembira dibenarkan bermain sekali lagi.
Jurulatih Barca, Hansi Flick memuji keputusan majlis sukan kebangsaan Sepanyol berhubung Olmo dan Victor.
“Seluruh kelab sangat gembira dengan keputusan yang tepat ini,” kata Flick, di samping berharap untuk memenangi piala pertamanya buat Barca.
“Kami mahu membuktikan kami adalah satu pasukan dan kemenangan kami juga adalah untuk seluruh pasukan,” tambahnya. – AFP