Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mewakili Negara Brunei Darussalam untuk menyertai Bengkel Garis
Panduan bagi Makanan Halal ASEAN yang julung kalinya diadakan pada tahun ini.
Bengkel tersebut telah diadakan secara maya melalui persidangan video khas di Bilik Dahlia, Bangunan KHEU dan dipengerusikan oleh Filipina.
Menurut kenyataan KHEU, selain pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Syariah,
bengkel juga disertai oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), serta Autoriti Makanan Brunei Darussalam.
Bengkel bertujuan bagi meneliti secara terperinci draf garis panduan berkenaan yang
dibincangkan dalam agenda Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN bagi Makanan Halal
ke-18 yang telah diadakan pada 18 Julai lalu.
Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Makanan Halal ditubuhkan bagi memudah cara keseragaman piawaian halal khususnya di rantau ASEAN dalam memenuhi permintaan yang meningkat bagi produk dan perkhidmatan halal yang menepati kebolehpercayaan dan terjamin di samping memastikan masyarakat Islam berasa selamat menggunakan produk makanan halal.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/08/P5-1Bengkel_13082022-1.jpg)
Bangunan KHEU.