Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kelmarin, berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada para pembesar negara dalam Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah Bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444H bersamaan 2023M di Istana Nurul Iman.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah serta Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam dan kerabat diraja.
Seperti lazimnya, junjung ziarah para pembesar negara yang terdiri daripada pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para diplomat dan perwakilan asing ke negara ini, setiausaha-setiausaha tetap juga para pegawai kanan kerajaan bersama isteri masing-masing, kehadapan majlis Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri diadakan pada 1 Syawal selepas sembahyang Sunat Aidilfitri, mencerminkan kemesraan dan ketulusan dalam mengukuhkan hubungan serta melahirkan rasa muhibah yang sudah sekian lama terjalin.
Pada majlis itu, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja telah berkenan menerima sembah ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada para pembesar negara dan perwakilan-perwakilan negara-negara sahabat di Negara Brunei Darussalam.
Pada masa yang sama, menerusi majlis itu, para pembesar negara dan perwakilan negara-negara sahabat berpeluang untuk beramah mesra dengan rakan sejawatan
mereka.
Para tetamu turut disajikan pelbagai aneka juadah Hari Raya yang sudah setentunya menambahkan lagi rasa kesyukuran dan kegembiraan menyambut hari kemenangan bagi umat Islam.