Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah malam tadi berkenan berangkat menyaksikan tayangan filem perdana Paddington in Peru anjuran Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam berlangsung di The Empire Cinema, The Empire Brunei.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah bagi dua buah tayangan filem itu di panggung wayang tersebut khusus bagi pihak berkepentingan utama dan ahli keluarga kanak-kanak berkeperluan khas dan golongan kelainan upaya untuk sama-sama meraikan detik kegembiraan, hubungan silaturahim dan keterangkuman.
Turut dijemput untuk menghadiri tayangan filem berkenaan ialah pegawai-pegawai kerajaan dan wakil-wakil industri kreatif.
Para hadirin berpeluang menyaksikan tontonan filem istimewa berkenaan dengan pengalaman sinematik sebenar yang berlatarbelakangkan pengembaraan terbaharu beruang yang digemari itu. Dicipta oleh Michael Bond pada akhir 1950an, kisah beruang yang digemari dari Peru ini telah menarik imaginasi pembaca dan penonton pawagam merentas generasi.
Paddington bukan sekadar beruang yang memakai duffle coat.
Ia adalah contoh cemerlang bagaimana industri kreatif boleh menceritakan kisah yang menyentuh hati, membuat penonton ketawa dan juga membawa mesej yang kuat.
Paddington ialah simbol global kreativiti dan penceritaan British, watak yang mengajar kita bahawa walaupun dalam situasi yang mencabar, perlu adanya kesabaran dan sikap yang baik dan dengan hanya memiliki sandwic marmalad yang banyak, boleh pergi lebih jauh.
Pengembaraannya digemari di seluruh dunia kerana mesej kebaikan dan penghormatan yang lebih mendalam terhadap kepelbagaian.
Dalam sembah ucapan pada majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Alexandra McKenzie, antaranya menyembahkan Beruang Paddington sentiasa melambangkan kebaikan dan kepentingan membantu antara satu sama lain.
“Acara hari ini merupakan cerminan nilai-nilai tersebut dan kami begitu gembira untuk berkongsi keajaiban kisah Paddington dengan awda di Brunei. Tayangan perdana ini bukan sekadar perayaan filem British, tetapi juga peluang untuk mengeratkan hubungan kita dengan komuniti tempatan dan menonjolkan kepentingan inklusiviti,” ujar beliau.
Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam turut bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) seperti Pusat Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), SMARTER Brunei, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, An-Nur Harapan dan Impian untuk menjadi tuan rumah kepada golongan kanak-kanak berkeperluan khas dan kelainan upaya, serta keluarga mereka, mencerminkan komitmennya untuk memupuk keterangkuman dan memperkukuh hubungan masyarakat.