Wednesday, June 26, 2024
30.1 C
Brunei

    -

    Berkenan kurnia hadiah kepada pemenang musabaqah peringkat akhir

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/ 2024 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
     
    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
     
    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/ 2024 Masihi; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang  Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd  Yussof dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
     
    Turut menjunjung keberangkatan ialah Pemangku Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; ahli-ahli Jawatan-kuasa Tertinggi Musabaqah dan pengendali-pengendali bersama serta jawatankuasa-jawatankuasa kerja yang lain.
     
    Majlis dimulakan dengan persembahan oleh qari jemputan dari Republik Indonesia, Haji Dasrizal M Nainin yang merupakan juara Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuwait pada 2022 dan juara Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia pada 2013.
     
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah kepada johan qari, Haji Mohammad. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada naib johan qari, Pengiran Mohd Amirul Aiman. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah tempat ketiga kategori qari kepada Awangku Adi Nazri. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah kepada johan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1445H/2024M di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada Dayangku Siti Ummi Syazana selaku naib johan qariah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada Dayang Najla’ Sabreena selaku pemenang ketiga qariah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Keberangkatan Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan beramah mesra bersama para peserta. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan berangkat ke majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir berkenan beramah mesra bersama jemputan yang hadir. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Persembahan oleh qari jemputan dari Republik Indonesia, Haji Dasrizal M Nainin menyerikan majlis. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Antara jemputan yang hadir pada majlis pengumuman berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Majlis disusuli dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin yang antara lain menyembahkan bahawa sesuai dengan tema musabaqah tahun ini iaitu Al-Quran Pedomanku, ayat-ayat Al-Quran yang ditilawahkan oleh para peserta diberikan kesimpulan makna dan tafsirnya secara penerbitan risalah yang sejak dahulu lagi dinamakan Sinaran Wahyu
     
    Keluarannya tahun ini adalah bilangan ke-69 dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
     
    Dengan usaha yang dibuat sejak lama itu, orang ramai berpeluang mengetahui makna dan tafsir serta kesimpulan pengajaran ayat-ayat yang dibacakan iaitu ‘ibrahnya. 
     
    Dalam majlis musabaqah tahun ini, ‘ibrah itu telah disampaikan dengan baik oleh empat orang pegawai muda lelaki dan wanita generasi baharu perkhidmatan agama, dua orang dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan dua lagi dari Kementerian Pertahanan. 
     
    Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah sebelum pengumuman keputusan musabaqah.
     
    Johan qari dan qariah ialah Haji Mohammad bin Ali dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri yang masing-masing menerima wang tunai $7,000, piala pusingan, hadiah iringan, sijil penyertaan, pakej umrah bernilai $4,200 daripada Balurih Travel Sdn Bhd, Akaun Tekad Haji berjumlah $3,000 sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DSHB), serta sebidang kain tenunan Brunei sumbangan Syarikat Little Ummi.
     
    Naib johan pula disandang oleh Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki dengan masing-masing memenangi wang tunai $5,000, hadiah iringan, sijil penyertaan, Akaun Tekad Haji berjumlah $2,000 sumbangan Perbadanan TAIB, IITH dan DHSB serta tiket penerbangan umrah daripada At-Taqwa Travel & Tours.
     
    Manakala itu, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dan Dayang Najla Sabreena binti Haji Abdul Rajid masing-masing memenangi tempat ketiga sekali gus membawa pulang wang tunai $3,000, hadiah iringan, sijil penyertaan, pakej percutian ke Istanbul bernilai $2,500, serta Akaun Tekad Haji berjumlah $1,000 sumbangan Perbadanan TAIB, IITH dan DHSB.
     
    Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menganugerahkan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada para pemenang dan peserta serta hakim-hakim musabaqah.
     
    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemimpin Korea Utara lawat Rusia ‘apabila semua syarat dipenuhi’

    TEHRAN, 25 JUN - Lawatan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un ke Rusia akan berlangsung apabila ‘semua syarat yang diperlukan dipenuhi’ dan asas untuk menandatangani...