Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Narkotik adalah zat atau bahan ubat yang berasal daripada tanaman atau bukan tanaman, sama ada sintetik mahupun semi-sintetik, yang boleh menyebabkan penurunan atau perubahan kesedaran.
“Selain itu, narkotik juga boleh menyebabkan halusinasi dan rangsangan, yang secara umumnya mencetuskan risiko ketagihan bagi penggunanya,” tekan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan ceramah pada Majlis Ceramah Bersama Mufti sempena Sambutan Haji Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2024.
Ceramah yang dianjurkan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dengan kerjasama Jabatan Mufti Kerajaan itu berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan tajuk ceramah Penghayatan Islam bagi Menangani Isu Dadah di Negara Brunei Darussalam’ menegaskan, sehingga kini, penyalahgunaan narkotik telah tersebar luas dan hampir tidak dapat dicegah lagi.
Menurutnya, seluruh penduduk dunia kini dengan mudah mendapat narkotik daripada ejen-ejen atau sindiket-sindiket yang tidak bertanggungjawab dan sudah tentu perkara ini amat mencemaskan.
“Walaupun pembanterasan narkotik sudah giat dilakukan, kesan positifnya masih sedikit ditemui, berbanding dengan kalangan remaja, dewasa, malah kanak-kanak sekolah yang semakin ramai terjerumus dalam penyalahgunaan narkotik,” jelasnya.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan, daripada pelbagai jenis atau rumpun nama narkotik, semakin menambah kerisauan kita tentang kemungkinan ia mudah didapati untuk digunakan.
Ini bermaksud bukan hanya satu atau dua jenis, tetapi banyak jenis yang boleh dicari.
Semua ini, tegasnya, menjadi cabaran kepada umat manusia di seluruh dunia, terutama para remaja, belia dan pelajar untuk tidak terlibat atau dilibatkan dengan narkotik.
“Lebih membimbangkan lagi, katanya, penyeludupan dadah atau narkotik di Asia Tenggara, untuk beberapa tahun kebelakangan ini, telah menjadi punca ketakutan dan ketidakamanan,” jelasnya.
Di samping itu, beliau turut berkongsi maklumat yang telah disampaikan melalui beberapa media dan berita mengenai pasukan keselamatan anti-dadah Afghanistan yang telah memusnahkan enam metrik tan dadah dan bahan kimia untuk memproses dadah.
Menurutnya juga, dalam laporan Pejabat PBB bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) 2024 yang menyatakan penggunaan dadah sedunia terus meningkat di tengah-tengah perkembangan penggunaan dan pemasaran.
“Jumlah pengguna dadah telah meningkat kepada 292 juta orang pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus dalam tempoh 10 tahun.
“Perkembangan ini tidak boleh dipandang ringan dan untuk keselamatan umat sedunia, semua pihak perlu bersatu menghadapinya,” tekannya.
Beliau turut menjelaskan, agama Islam memberi contoh pencegahan yang lengkap dari awal lagi, dengan menyebut khamar dan benda-benda seumpamanya yang menghilangkan akal adalah haram.
“Menurut Yang Berhormat Pehin, apabila kita menilai kejadian-kejadian yang berlaku di mana-mana, ternyata pengambilan narkotik, ubat-ubatan terlarang dan alkohol biasanya membawa kepada berlakunya tindak jenayah yang pelbagai.
Beliau seterusnya menambah perlakuan jahat seperti mencuri, pecah rumah, merompak, sehingga membunuh, sering disebabkan oleh bahan-bahan ini.
Malah, katanya, turut berlaku juga perbuatan-perbuatan tidak bermoral seperti zina, perkosaan, penderaan seksual dan lain-lain, akibat pengambilan bahan-bahan terkutuk ini.
Kerana itu, tegasnya, Brunei Darussalam telah mengambil langkah punggur dengan mengharamkan arak dan rokok.
“Tidak diragukan lagi, inisiatif pembebasan daripada dua bahan perosak ini, rokok dan arak, Negara Brunei Darussalam menjadi pelopor tunggal, dan insya-Allah, Brunei juga akan sentiasa bersama-sama dengan warga dunia yang lain, untuk membentengi diri dan sekali gus membentengi masyarakat global daripada arus perkembangan dan penyebaran narkotik sedunia,” ujarnya.