Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd (BMC) meraikan pencapaian signifikan setelah melepasi 10 juta jam tanpa kecederaan waktu kerja (LTI), suatu pencapaian yang melambangkan lebih daripada 11 tahun jam kerja terkumpul.
Pencapaian berkenaan diraikan pada sambutan BMC 10 Juta Jam Tanpa LTI dan Hari Kesihatan serta Keselamatan yang diadakan pagi tadi di Songket Ballroom, Rizqun International Hotel, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid yang juga merupakan Timbalan Pengerusi BMC.
Tetamu khas yang turut hadir termasuk Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Pengarah dan Pegawai Eksekutif Pengurusan Mitsubishi Gas Chemical Company, Inc, Hideaki Akase; Pengerusi BMC, Takayuki Miyamoto; Lembaga Pengarah-pengarah BMC, wakil pemegang saham, pengawal selia, pihak berkepentingan industri dan rakan kongsi perniagaan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Jesus Enrique Mora Marin menekankan usaha bersama di sebalik pencapaian itu. Beliau berkata, “Komitmen ini bukan sahaja melindungi pegawai dan kakitangan kami tetapi juga menjaga alam sekitar, aset, dan reputasi, mengukuhkan visi kami untuk menjadi pembekal metanol bertaraf dunia selaku pilihan utama.”
Hideaki Akase, juga menyampaikan ucapan yang memuji komitmen BMC dalam mengutamakan keselamatan di setiap peringkat sambil mengekalkan operasi harian yang stabil.
Salah satu fokus utama majlis berkenaan adalah pelancaran 12 Peraturan Menyelamatkan Nyawa (LSR) BMC, yang dirasmikan oleh tetamu kehormat yang seterusnya melancarkan ikrar keselamatan.
Tetamu kehormat memuji sumbangan BMC terhadap pembangunan Brunei, dengan berkata, “Sebagai kilang petrokimia pertama di Brunei, BMC berdiri sebagai model bagaimana amalan keselamatan proaktif yang disertai dengan penglibatan yang rapat dengan badan pengawalseliaan yang dapat mendorong kejayaan perniagaan dan pertumbuhan yang mampan.
“Pencapaian tersebut adalah cerminan sebenar disiplin, kerja berpasukan, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada semua yang terlibat, daripada pekerja hingga kontraktor,” tambahnya.
Sebagai kilang pembuatan petrokimia pertama di Brunei Darussalam, BMC berdiri sebagai contoh bagaimana amalan keselamatan proaktif yang digabungkan dengan penglibatan rapat dengan badan pengawalseliaan dapat mendorong kejayaan perniagaan dan pertumbuhan mampan.
Dengan memupuk budaya pencegahan, mengutamakan keselamatan dan mempromosikan persekitaran kerja yang selamat dan terjamin, beliau berharap BMC dapat menyumbang dalam meningkatkan kualiti hidup di Brunei Darussalam, selaras dengan visi yang digariskan dalam rangka Wawasan Brunei 2035.
Menerusi pelancaran LSR, BMC mengambil satu langkah penting lagi untuk mengukuhkan keselamatan di tempat kerja. Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menggalakkan setiap pekerja untuk mengamalkan 12 peraturan itu dalam rutin harian mereka, dengan matlamat utama untuk mengekalkan rekod sifar kejadian dan meminimumkan risiko yang berkaitan dengan kemalangan dalam bekerja.
Beliau berharap semoga pencapaian keselamatan itu memberikan inspirasi kepada semua untuk meletakkan keselamatan dan kecemerlangan operasi di hadapan setiap tindakan.
Majlis berkenaan juga menampilkan pameran interaktif daripada rakan kongsi perniagaan BMC, termasuk Best Integrated Engineer Solution & Supplies Sdn Bhd (BIESSSB); Megamas Training Company Sdn Bhd; Massutera Engineering Sdn Bhd (MESB); Amaniaga Resources (B) Sdn Bhd (ARSB); Megalift Sdn Bhd; Mahkota Maju Sdn Bhd dan Klinik Dr Amir.
Pameran itu mempamerkan aplikasi LSR dalam operasi harian, sementara Klinik Dr Amir menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk para tetamu yang hadir.
Lawatan pameran berakhir di petak pameran Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan yang mempamerkan inisiatif kesejahteraan. Tetamu kehormat seterusnya turut menyampaikan hadiah kepada enam pemenang Program Gaya Hidup Sihat BMC (HLP) iaitu Cabaran Langkah Akhir BMC 2024 x BN on the Move (BNOTM).
Menurut kenyataan, pencapaian sambutan BMC itu mengukuhkan lagi dedikasinya dalam memupuk budaya keselamatan yang proaktif, memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat, serta menyumbang secara aktif kepada pembangunan ekonomi mampan di negara ini selaras dengan rangka kerja Wawasan Brunei 2035.