Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 21 JAN – Sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat di negara ini, Brunei LNG Sdn Bhd mengadakan majlis muzakarah buat julung kalinya bersama komuniti Daerah Tutong bertempat di Hotel The Lanes, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan juga selaku Ketua Kampung Sengkarai; Pengurus Sumber Manusia, Hartanah dan Kemudahan Brunei LNG, Dayang Rezona binti Tajuddin; dan juga wakil-wakil pasukan kepimpinan Brunei LNG.
Majlis itu turut menyaksikan kehadiran golongan pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan luar.
Dalam ucapan pembukaannya, Dayang Rezona menekankan komitmen Brunei LNG dalam mengekalkan operasi mampan sebagai penyumbang utama kepada ekonomi dan pembangunan negara sejak penubuhannya 55 tahun lalu.
Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memupuk pembangunan dan kemajuan bersama, melalui penglibatan aktif dalam inisiatif sosial dan komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat Negara Brunei Darussalam.
Para kakitangan utama juga membentangkan perjalanan Brunei LNG sepanjang 55 tahun yang lalu, menonjolkan peranan organisasi dalam sektor tenaga untuk pertumbuhan dan kemajuan Negara Brunei Darussalam, langkah-langkah keselamatan jalan raya, serta sumbangan sosial.
Topik lain yang dibincangkan pada acara itu termasuk jaminan untuk mengekalkan operasi berterusan untuk Brunei LNG dan ancaman pencerobohan di sekitar kawasan larangan yang berbahaya.
Keselamatan adalah keutamaan di Brunei LNG dan sebagai pertimbangan untuk pekerja yang berulang-alik melalui Daerah Tutong, ceramah keselamatan jalan raya turut diadakan bersempena dengan Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia di mana ceramah berkenaan telah diketuai oleh organisasi pasukan keselamatan jalan raya dan bertujuan untuk melengkapkan masyarakat dengan pengetahuan penting dalam menjaga keselamatan jalan raya.
Melalui pematuhan ketat terhadap undang-undang dan peraturan, Brunei LNG akan terus memastikan kebajikan sosial masyarakat di mana ia beroperasi, dengan langkah-langkah yang disediakan untuk melindungi pekerja, kontraktor dan masyarakat sekitar daripada potensi risiko.
Berfungsi sebagai platform untuk komunikasi yang jelas dan telus untuk meningkatkan kerjasama dengan pihak berkepentingan, muzakarah itu bertujuan untuk memupuk pemahaman yang lebih baik tentang pencapaian, operasi dan cabaran organisasi.
Sebagai sebahagian daripada komitmen itu, Brunei LNG juga akan berhasrat untuk memastikan semua pihak sentiasa dikemas kini melalui platform media yang sedia
ada.