Thursday, May 2, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Brunei-UK lancar Laporan Ekonomi Hijau

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Laporan Ekonomi Hijau Brunei merupakan hasil kolaborasi pertama di antara Suruhanjaya Tinggi British dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang dikenali sebagai Brunei Green Economy Framework (BGEF).

    Projek BGEF bermatlamat untuk menyokong rancangan Negara Brunei Darussalam untuk mempelbagaikan ekonomi serta berusaha ke arah mencapai ikrar pengeluaran sifar bersih.

    Pada masa yang sama, ia juga dihasratkan untuk menjawab persoalan bagaimana Brunei dapat mempelbagaikan dan mengembangkan ekonomi negara sambil memenuhi sasaran perubahan iklimnya, jelas Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Laporan Ekonomi Hijau Brunei yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran laporan berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), pihak-pihak kedutaan di negara ini, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pakar-pakar industri daripada United Kingdom (UK), ARUP Singapura, ahli-ahli kumpulan kerja BGEF, wakil-wakil daripada agensi-agensi yang terlibat dalam menghasilkan laporan itu, serta pihak-pihak berkepentingan untuk menjayakan usaha-usaha di bawah BGEF.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menerima Laporan Ekonomi Hijau Brunei daripada TYT John Virgoe. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Pelancaran itu dianjurkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi selaku pengerusi bersama kumpulan kerja BGEF dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British.

    Dalam ucapan khas, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menekankan kepentingan kedayatahanan dalam menuju ke arah ekonomi hijau, yang mana laporan itu menggalakkan kerjasama bagi mengenal pasti peluang untuk pelaburan yang disasarkan, penambahbaikan dasar, pemadanan perniagaan dan kerjasama antarabangsa, dengan tujuan untuk membina ekonomi yang berdaya tahan dan mampan yang mengimbangi penjagaan alam sekitar dengan kemakmuran ekonomi.

    Terdahulu dalam ucapannya, TYT John Virgoe berkata bahawa dalam konteks yang lebih meluas bagi projek berkenaan adalah perubahan struktur yang sedang berlaku di serata ekonomi global dalam reaksi kepada bukan sahaja krisis iklim tetapi juga faktor geostrategik serta perubahan teknologi khususnya, peralihan tenaga global yang menjejaskan semua negara terutamanya pengeluar tenaga.

    Oleh itu, adalah menjadi perbalahannya bahawa peralihan tenaga global harus dilakukan melalui kaedah yang melindungi dan menyokong seluruh masyarakat iaitu peralihan tenaga saksama di mana menghijaukan ekonomi secara adil dan inklusif, menjana peluang pekerjaan yang baik dan tidak meninggalkan sesiapa pun.

    TYT John Virgoe juga menyatakan bahawa kedua-dua buah negara, UK dan Brunei, berhadapan cabaran model industri dan ekonomi baharu yang berubah-ubah di mana ia boleh menjana kemakmuran dan pekerjaan dalam kaeadah yang lebih berdaya tahan serta mampan.

    Bagi mencapai matlamat yang mencabar itu, ulasnya, ia memerlukan sikap bertimbang rasa dan strategik dalam menumpukan kepada pelaburan serta tenaga yang hanya akan berjaya dalam peralihan tenaga jika menggandakan usaha pada sektor-sektor yang mempunyai peluang-peluang yang terbaik.

    Beliau menambah bahawa projek BGEF memberikan cadangan yang praktikal dan terbukti dengan baik mengenai mana yang harus ditumpukan oleh Brunei dalam usaha mempelbagaikan ekonominya.

    Pada majlis berkenaan, Laporan Ekonomi Hijau Brunei dilancarkan dengan upacara penyerahan laporan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew daripada TYT John Virgoe.

    Pelancaran Laporan Ekonomi Hijau Brunei adalah salah satu deliverable di bawah UK-Brunei Strategic Dialogue: BGEF yang bertujuan untuk merangka pelan hala tuju kemampanan bagi membimbing strategi dalam mempelbagaikan ekonomi Brunei.

    Ia juga adalah salah satu inisiatif negara ini dalam mencapai komitmen pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

    Laporan komprehensif itu, kemudian dibentangkan oleh Brice Richard dari ARUP Singapura, selaku konsultan laporan berkenaan, yang antara lain memberikan gambaran keseluruhan impak perubahan iklim kepada ekonomi negara.

    Ia juga mengenalpasti peluang dan cabaran yang dapat dijadikan asas untuk membangun ekonomi hijau di Negara Brunei Darussalam yang dapat menyumbangkan kepada ekonomi negara dari segi pengeluaran, penjanaan pekerjaan baharu serta pengurangan pengeluaran karbon.

    Seterusnya, majlis diikuti dengan perbincangan panel antara pakar industri dari Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri dan pakar-pakar industri dari UK yang bertajuk A Pathway to Economic Resilience.

    Perbincangan itu menjadi platform bagi pertukaran idea, pandangan dan amalan terbaik dalam menjalankan peralihan hijau sambil memastikan kemakmuran ekonomi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka kematian lebuh raya runtuh di China meningkat kepada 36

    GUANGZHOU, 2 MEI - Angka kematian akibat sebahagian lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China runtuh meningkat kepada 36 orang, kata pihak berkuasa tempatan,...