Monday, July 1, 2024
22.3 C
Brunei

    -

    Brusin sambut ulang tahun ke-50

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Bersempena dengan meraikan sambutan ulang tahun ke-50, Brusin Trading Company Sdn Bhd telah mengadakan persidangan perniagaan bertempat di Tarindak D’Seni, di ibu negara baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian persidangan berkenaan ialah Pemangku Pengarah Bahagian Infokomunikasi, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani.

    Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Brusin Trading Company Sdn Bhd, Haji Mohd Sufian bin Haji Mohd Tahir antaranya melahirkan rasa bangga menjadi sebuah syarikat bumiputera yang berjaya dimodenkan di samping menjunjung nilai-nilai Brunei.

    Sementara itu, Dayang Mazriyani semasa menyampaikan ucapannya turut merakamkan penghargaan menyaksikan perjalanan Brusin daripada sebuah syarikat perdagangan perabot kepada syarikat penyelesaian transformasi digital yang mencerminkan Pelan Induk Ekonomi Digital Kebangsaan 2025 untuk mencapai visi iaitu Smart Nation through Digital Transformation.

    Turut hadir dalam sambutan itu ialah wakil-wakil dari Dell Technologies, Ricoh, Schneider Electric, Cisco, Fortinet, Microsoft, Logitech, Unified National Networks (UNN), dan Greentek untuk mengongsikan kepakaran mereka sepanjang persidangan tersebut.

    Gambar ramai antara Haji Mohd Sufian, Dayang Mazriyani dan wakil syarikat yang terlibat. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Dayang Mazriyani semasa menyampaikan ucapannya dalam majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara pameran yang turut diadakan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Pada persidangan berkenaan turut menyaksikan pakar kecerdasan buatan (AI) yang terkenal dari Dell Technologies, Sidharth Joshi mengongsikan kuasa transformatif AI meliputi keseluruhan spektrum projek AI, dari konsep hingga pelaksanaan di bawah tajuk Journey of AI: Unlocking the Potential of AI.

    Manakala Pengarah Jualan Cisco, Roy Xu, antaranya mengongsikan Cisco selaku pilihan komersial, Singapura dan Negara Brunei Darussalam di mana Cisco berdiri di barisan hadapan dalam rangkaian selamat dan integrasi AI yang mentakrifkan semula paradigma keselamatan siber.

    Pada perkongsian daripada Pengurus Negara Microsoft di Negara Brunei Darussalam, Akfash Latibu, antaranya memperkenalkan Copilot untuk Microsoft 365 iaitu pembantu AI yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan tempat kerja.

    Selain itu, Pengurus IT Brusin Trading Company Sdn Bhd, Giji George pula dalam sesi perkongsiannya menekankan peralihan Negara Brunei Darussalam ke arah penyelesaian IT dan perkhidmatan terurus berbanding penjualan produk.

    Unit Projek Khas UNN yang diketuai oleh Ketua Pengurusan Projek Khas IT, Samson Wong turut tidak ketinggalan menunjukkan perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan semasa persidangan tersebut.

    Kerjasama berterusan antara Brusin dan UNN menandakan satu peristiwa penting dalam kemajuan transformasi digital dan penyelesaian keselamatan siber di Brunei.

    Ini juga membuktikan komitmen kedua-duanya untuk memenuhi keperluan dinamik perniagaan moden dengan menyediakan penyelesaian inovatif, daya tahan digital dan kecekapan operasi kepada pelanggannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...