Wednesday, November 27, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buaya Siam Kemboja kembali dari ambang kepupusan

    PHNOM TAMAO – Muncung seekor anak buaya Siam perlahan-lahan muncul dari cengkerang telur yang mulai retak. Buaya Siam itu mengambil masa, agak lambat berbanding anak buaya lain yang telah keluar di atas pasir.

    Buaya dewasa boleh mencecah panjang sehingga 4 meter dan berat hingga 350 kilogram.

    Ia tidak mempunyai banyak pemangsa semula jadi. Namun, anak-anak buaya ini – setiap ekor mempunyai saiz sebesar hot dog New York – amat mudah terdedah kepada ancaman dan jeritan nyaring buaya menjadi isyarat kepada ibu haiwan berkenaan untuk melindungi dan memastikan anak-anak yang terpisah berkumpul bersama.

    Hor Vichet, penjaga zoo di pusat pembiakan Fauna dan Flora untuk spesies reptilia amat terancam di Phnom Tamao, memecahkan baki cengkerang yang tinggal.

    “Sudah tiba masanya untuk keluar ke dunia,” katanya.

    Anak-anak buaya yang dikeringkan dijual di kedai penternak buaya tersebut. – AP
    Seorang kakitangan zoo memegang anak buaya Siam di pusat penetasan di Zoo Phnom Tamao di wilayah Takeo, Kemboja. – AP
    Seekor anak buaya Siam baka tulen menonjolkan kepalanya dari cengkerangnya. – AP
    Penternak buaya, Ry Lean, 73, ketika ditemui di rumahnya di wilayah Siem Reap, Kemboja. – AP
    Kulit buaya digantung di rumah penternak buaya. – AP

    Buaya Siam kini sedang mencatat kebangkitan semula yang tidak dijangka. Dahulunya meluas di Asia Tenggara, permintaan terhadap kulit buaya ini untuk menghasilkan produk fesyen hampir mendorong populasi liar pupus pada abad yang lalu.

    Ribuan buaya telah diburu atau ditangkap untuk pembiakan di ladang-ladang. Menjelang penghujung tahun 90an, spesies itu dianggap sudah pupus.

    Namun, tinjauan pada tahun 2000 di Pergunungan Cardamom di barat Kemboja menemui sisa populasi liar yang masih ada. Hutan hujan yang berkabus ini adalah antara kubu terakhir gerila Khmer Rouge yang berjuang menentang kerajaan sehingga tahun 1999.

    Bersama dengan penduduk asli tempatan berusaha menyelamatkan enklaf buaya yang masih tinggal. Namun, jumlah mereka masih terlalu sedikit untuk memulihkan populasi.

    Penyokong pemuliharaan menyedari bahawa menyelamatkan spesies ini memerlukan pembiakan buaya yang subur di ladang. Para penternak buaya yang dahulunya memburu hingga menyebabkan spesies ini hampir pupus kini memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan tersebut.

    Kini, terdapat kira-kira 1,000 ekor buaya Siam di habitat liar, dengan lebih kurang 400 ekor di Kemboja dan selebihnya di Vietnam, Laos, Thailand dan Indonesia.

    Melindungi reptilia ini juga memerlukan usaha melindungi habitatnya di Pergunungan Cardamom – sebuah ekosistem yang pelbagai dan salah satu hutan hujan terakhir di Asia Tenggara. Ia merangkumi kawasan yang lebih besar daripada Denmark dan membantu menyerap gas rumah hijau yang memanaskan bumi dari atmosfera.

    Usaha ini akhirnya mulai membuahkan hasil. Buaya pertama telah dilepaskan ke hutan liar pada tahun 2012 dan mula membiak di habitat semula jadi mereka. Lebih daripada 100 telur ditemui di hutan pada bulan Julai, bilangan tertinggi setakat ini.

    “Masih terlalu awal untuk kami mengatakan bahawa spesies ini dalam keadaan baik,” akui Pablo Sinovas dari Fauna dan Flora. “Tetapi ia mencatat kemajuan.”

    Penyokong pemuliharaan berdepan cabaran besar apabila mereka memulakan projek pada tahun 2011. Terdapat lebih daripada 1.5 juta buaya yang dibiakkan di ladang-ladang di seluruh Kemboja, Thailand dan Vietnam, tetapi hanya sedikit yang baka tulen.

    Penternak telah mengacukkan buaya Siam dengan spesies yang lebih besar dan agresif untuk mendapatkan kulit dengan tekstur yang diinginkan oleh jenama fesyen. Melepaskan kacukan tersebut ke alam liar mungkin mempercepatkan kepupusan baka tulen. Ia juga menimbulkan ancaman kepada manusia.

    Bukti penghormatan rakyat Kemboja terhadap buaya Siam dapat dilihat pada ukiran gigi di dinding di Kuil Bayon dalam kompleks Kuil Angkor Wat di negara itu, tetapi kacukan tersebut bukanlah haiwan yang sama.

    “Ia akan menjadi masalah kerana beberapa spesies ini bersifat agresif terhadap manusia. Dan kita tidak mahu mereka berada di alam liar,” katanya.

    Oleh itu, pakar meninjau ladang-ladang buaya di seluruh Kemboja, bekerjasama dengan penternak dan saintis untuk mencari buaya baka tulen.

    Buaya yang dikenal pasti dibawa ke pusat hidupan liar di Phnom Tamao untuk dibiakkan dalam kurungan. Telur-telur diinkubasi secara buatan dan kumpulan pertama terdiri daripada 18 ekor anak buaya baka tulen dilepaskan ke Pergunungan Cardamom, meletakkan asas untuk menghidupkan semula spesies ini.

    Buaya adalah spesies sosial dan apabila bersama, mereka ‘menentukan hierarki mereka sendiri,’ kata Iri Gill, pengurus haiwan darah sejuk di Chester Zoo di United Kingdom (UK), yang menyokong program pembiakan itu.

    Selepas musim pembiakan, buaya betina akan bertelur yang kemudian disimpan dalam inkubator tiruan di mana kelembapan dan suhu dipantau dengan teliti untuk meniru keadaan sarang di alam liar.

    “Itulah peringkat penting untuk menetaskan anak-anak buaya dan membesarkannya sehingga mereka menjadi kuat sebelum dilepaskan,” kata Gill.

    Di hutan liar, kurang dari 1 dalam 20 anak buaya berjaya menjadi dewasa. Peluang mereka untuk hidup meningkat secara mendadak jika dilepaskan setelah mencapai panjang satu meter.

    “Itulah sebabnya program pembiakan dalam kurungan ini berkesan di seluruh dunia,” katanya.

    Kini, permintaan terhadap kulit buaya telah berkurangan dan banyak ladang buaya mengalami kerugian sejak pandemik, kata Ry Lean, seorang penternak buaya.

    Puluhan buaya besar berjemur di kandang-kandang sekitar rumah di mana wanita berusia 73 tahun itu tinggal bersama keluarga besarnya.

    Kedainya menjual cenderamata seperti tengkorak buaya yang disusun di rak seperti buku, bekas kaca yang dipenuhi dengan gigi taring, longgokan dendeng buaya dan kulit anak-anak buaya yang disapu pengilat kering di bawah sinar matahari.

    Namun pelancongan telah merosot sejak pandemik dan kenaikan harga ikan menyukarkan usaha memberi makan buaya-buaya ini, kata Lean.

    “Saya menghadapi kesulitan dengan perniagaan ini dan buaya-buaya ini,” katanya, menambah bahawa seekor buaya besar dulu boleh dijual dengan harga sehingga AS$1,500. Kini dia bernasib baik jika mendapat AS$150.

    Penyokong pemuliharaan masih meninjau ladang-ladang untuk mencari buaya Siam baka tulen. Mereka juga berusaha untuk melindungi habitat tempat buaya baka tulen muda ini dilepaskan.

    Pada tahun 2001-2023, Kemboja kehilangan hampir satu pertiga daripada litupan pokoknya, menurut Global Forest Watch, sebuah platform yang dijalankan oleh World Resources Institute, sebuah organisasi bukan keuntungan.

    Peranan buaya Siam sebagai spesies unggul – dipilih untuk mewakili perjuangan alam sekitar sama seperti panda gergasi di China dan harimau di India, membantu usaha melindungi Pergunungan Cardamom, kata Sinovas dari Fauna dan Flora.

    Tiada gunanya melepaskan buaya ke dalam habitat yang tidak dapat menyokong mereka, katanya.

    “Melindungi habitat adalah bahagian yang paling penting dalam keseluruhan projek ini,” tambahnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda