TAWAU, 5 DIS – Seorang pelajar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia mendengar Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, mengaku kepada seorang tertuduh di bilik asrama 7 Resak, Kolej Vokasional Lahad Datu, bahawa dia ada mencuri wang.
Saksi pendakwaan ke-19 Putra Azdaniel Jhalal Razhiel Jhalal, 19, yang juga pelajar diploma kolej itu berkata dia tidak pasti mangsa mencuri duit siapa dan beliau pada asalnya pergi ke bilik asrama itu bagi mencari pensel warna untuk menyelesaikan tugasan membuat landskap pada 10 malam, 21 Mac.
“Masuk (7 Resak), saya nampak Ijat (Mohamad Nazmie Aizzat) dan tertuduh kelima berbincang di tengah bilik. Tertuduh kelima menuduh Ijat mencuri duit, kemudian Ijat pergi ke lokarnya dan bawa keluar duit RM50, RM10, RM5 dan tiga keping RM1, lalu menyerahkan kepada tertuduh kelima.
“Ijat mengaku dia yang curi duit, (mangsa berkata) ‘iya, aku ambil’. Kemudian terus tertuduh pertama, keempat serta kelima memukul mangsa,” katanya dalam keterangan saksi pada perbicaraan kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, Putra Azdaniel Jhalal berkata ketika kejadian itu dia berada di tengah manakala ketiga-tiga tertuduh berada di sebelah kirinya dan mangsa di sebelah kanannya.
Putra Azdaniel Jhalal berkata pukulan ketiga-tiga tertuduh kepada mangsa adalah lebih daripada sekali, bagaimanapun saksi tidak dapat memastikan bahagian mana tubuh mangsa yang terkena pukulan tersebut. – Bernama