SURABAYA, 25 JUN – Temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 yang membuka tirai secara rasmi hari ini menandakan bermulanya perjuangan kontinjen Malaysia yang memikul harapan tinggi dari pelbagai pihak khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi sasaran 35 pingat emas.
Dengan membariskan beberapa atlet berprofil tinggi untuk memperkasa kontinjen Malaysia, ia jelas menampakkan bahawa KPT memberi keutamaan kepada temasya dwitahunan yang berlangsung di Surabaya-Malang bermula hari ini hingga 6 Julai itu.
Beberapa nama ini jelas menjadi pertaruhan terbaik Malaysia untuk menjelmakan kilauan emas di AUG 2024 dengan satu lagi matlamat untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas.
Olahraga membariskan tiga atlet berprofil tinggi iaitu pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, pemegang rekod kebangsaan acara 400m lelaki, Umar Osman selaku pembawa Jalur Gemilang dan pemegang rekod kebangsaan 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy.
Selain itu, pemegang rekod kebangsaan acara berpasukan compound lelaki, Mohamad Syafiq Mohd Ariffin turut dipertaruhkan di AUG dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Muhammad Syafiq Zuber dan Shahmalarani Chandran masing-masing dari sukan taekwondo dan karate. – Bernama