Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chevron AS berminat dalam penerokaan hidrokarbon di Greece

    ATHENS, 21 JAN – Syarikat tenaga berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Chevron menyatakan minatnya untuk menjalankan penerokaan hidrokarbon di Greece, menurut pengumuman Kementerian Alam Sekitar dan Tenaga Greece kelmarin, lapor Xinhua.

    Kementerian itu mengalu-alukan minat Chevron, menyifatkan pembangunan kawasan penerokaan baharu sebagai sebahagian daripada strategi nasional Greece untuk meningkatkan kebebasan tenaga dan mengurangkan kos tenaga. Tender antarabangsa yang berkaitan akan dilancarkan tidak lama lagi.

    “Minat Chevron, ditambah dengan hakikat bahawa ExxonMobil sudah aktif di negara kami, menandakan kehadiran serentak dua gergasi tenaga,” menurut kementerian dalam kenyataan mereka.

    ExxonMobil telah menjalankan penerokaan hidrokarbon di kawasan luar pesisir di barat daya Peloponnese dan barat Crete sejak memperoleh hak melalui tender antarabangsa pada 2014. Kawasan marin baharu yang menarik minat Chevron terletak bersebelahan dengan plot itu.

    Susulan krisis tenaga yang dicetuskan oleh perang di Ukraine, kerajaan Greece menetapkan matlamat untuk mempercepatkan penerokaan rizab hidrokarbon domestik bagi mencapai keselamatan tenaga.

    Menurut kajian oleh Pengurusan Sumber Hidrokarbon Hellenic dan Institut Tenaga untuk Eropah Tenggara, rizab hidrokarbon Greece dianggarkan bernilai kira-kira AS$258 bilion. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda