TAIPEI, 27 APRIL – Panda gergasi, Ya Ya hari ini mendarat di Shanghai selepas diterbangkan dari Zoo Memphis di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) di mana ia menghabiskan masa 20 tahun lalu sebagai pinjaman kepada AS.
Perjalanan panda yang meraih populariti kerana kisahnya yang menyayat hati disiarkan secara dalam talian melalui media utama di China dan platform media sosialnya, Weibo dengan orang ramai berkongsi tangkapan skrin menjejaki laluan penerbangan Ya Ya ke Shanghai.
“Akhirnya pulang!” kata seorang pengguna online dalam respons terhadap berita itu. Manakala pengguna lain meminta siaran secara langsung diteruskan bagi ketibaannya.
Imej dari penyiar China, Phoenix News adalah antara yang paling popular dalam kalangan pengguna media sosial China. Ia menunjukkan panda itu membuang air besar dan meninggalkan najisnya sebagai hadiah kepada zoo tersebut.
Zoo itu juga telah mengadakan majlis perpisahan untuk Ya Ya pada April lalu dan mengatakan akan merindui panda tersebut. Pemergiannya menandakan berakhirnya perjanjian pinjaman dengan Persatuan Taman Haiwan China.
Awal tahun ini, selepas perjanjian pinjaman 20 tahun berakhir tanpa pembaharuan, dakwaan pengabaian dan penyeksaan telah tular dalam media sosial China dengan gambar-gambar Ya Ya yang bulunya kelihatan luruh dan kotor.
Zoo Memphis dalam satu kenyataan bagaimanapun mengatakan kualiti hidup panda itu tidak terjejas akibat bulunya itu, menekankan bahawa mereka menghantar laporan bulanan ke Persatuan Taman Haiwan China mengenai kesihatan panda itu.
Menurut kenyataan itu, “Ya Ya juga terjejas dengan keadaan kulit dan bulu kronik yang dikaitkan dengan sistem imunnya dan secara langsung menjejaskan perubahan hormonnya.”
Ya Ya telah ditemani dan dirawat oleh veterinar China sebelum kepulangannya, dengan keadaannya dikatakan bertambah baik selepas dirawat. – AP
