Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Negara Brunei Darussalam telah mengalami kesan jerebu pada minggu keempat Mac 2024 lalu disebabkan turunan hujan yang rendah dan jumlah insiden kebakaran yang berlaku di negara serta kesan dari jerebu rentas sempadan.
Keadaan itu menyebabkan peningkatan dalam bacaan kualiti udara di mana Pollutant Standards Index (PSI) mencapai tahap sederhana iaitu PSI 55 ke PSI 78, di kesemua stesen pemantauan kualiti udara.
Perkara itu dikongsi oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Penggunaan Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak semasa Mesyuarat Persidangan Ahli-ahli Parti Kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan Ke-19 (COP-19) yang berlangsung di Bangkok, Thailand, kelmarin.
Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam menekankan negara-negara anggota ASEAN, tambahnya lagi, untuk meningkatkan lagi persediaan dan kapasiti di peringkat kebangsaan bagi menangani isu pencemaran jerebu merentas sempadan yang berterusan dalam rantau ini.
Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh menteri-menteri, pegawai-pegawai dan/atau wakil bagi alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari negara-negara anggota ASEAN serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN untuk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN di bawah pengerusi, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Thailand, Yang Berhormat Narapat Kaeothong.
Terdahulu sebelum COP-19, Mesyuarat Jawatankuasa di bawah Persidangan Ahli-ahli Parti Kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (COM-19) telah diadakan.
Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Dr Nor Imtihan serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.
Mesyuarat berkenaan menegaskan semula komitmen untuk memastikan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dilaksanakan sepenuhnya dan berkesan serta menggalakkan negara-negara anggota ASEAN yang lain untuk mempercepatkan penandatanganan Perjanjian Penubuhan Pusat Koordinasi ASEAN untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC) untuk menangani pencemaran jerebu merentas sempadan di rantau ini, termasuk penubuhan Jawatankuasa ACC THPC.
Mesyuarat berkenaan turut mengambil maklum bahawa keadaan La Niña dijangka wujud pada Disember 2024 dan akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya pada awal 2025. Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju mengenai kepentingan mengambil tindakan tegas untuk meningkatkan kewaspadaan, langkah-langkah pencegahan serta prosedur pemadaman kebakaran segera bagi mengurangkan kebakaran tanah dan hutan serta mengurangkan kejadian jerebu merentas sempadan semasa cuaca kering.
Mesyuarat Ke-20 Persidangan Ahli-ahli Parti Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan akan diadakan di Malaysia pada 2025, sejurus selepas Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar ke-18.