Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPMM FC gagal kutip 3 mata

    Oleh Fadhil Yunus – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – DPMM FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Hougang United FC dalam perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) yang berlangsung di Stadium Jalan Besar malam tadi, setelah mendahului 2-0 namun dibolosi pada minit-minit terakhir perlawanan.

    Pasukan kendalian Jamie McAllister sekali lagi mengalami kekecewaan apabila Dejan Racic menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan, situasi yang hampir sama ketika mereka berdepan dengan Balestier Khalsa baru-baru ini.

    DPMM FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi sepakan penalti Julio Cruz, sebelum gol kedua hadir hasil jaringan sendiri oleh pemain Hougang, Ismail Salihovic.

    Bagaimanapun, pasukan pelawat terpaksa menghadapi cabaran apabila pemain pertahanan utama, Miguel Oliveira, mengalami kecederaan pada minit ke-27 dan terpaksa digantikan dengan Nazirrudin Ismail.

    Hougang United hampir menjaringkan gol pada separuh masa pertama melalui tandukan Dejan Racic, namun tandukannya tersasar hasil hantaran Stjepan Plazonja.

    Dalam babak kedua, Hougang meningkatkan serangan dengan percubaan berbahaya daripada Gabriel Quak dan Ajay Robson, namun gagal menemui sasaran.

    Akhirnya, Hougang berjaya merapatkan kedudukan apabila Stjepan Plazonja mempamerkan kemahiran individu untuk melepasi kawalan pertahanan DPMM FC dan menjaringkan gol pada minit ke-68.

    Malang buat DPMM FC, Azwan Ali Rahman dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua, sekali gus memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah.

    Pada masa kecederaan, Racic menebus kesilapannya dengan menyambut hantaran Plazonja untuk gol penyamaan, sekali gus memaksa DPMM FC berkongsi mata dengan keputusan seri 2-2.

    Antara aksi kedua-dua pemain pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, semalam. – GAMBAR SERAHAN SPL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda