Monday, September 30, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua beradik peluk agama Islam

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Dengan berkat dan hidayah Allah SWT, 22348 Soldadu Wahroseliza binti Buah dari Pejabat Pemerintah Garison, Pejabat Urusetia Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison dan kakak beliau telah memeluk agama Islam, hari ini.

    Majlis pengislaman tersebut diadakan di kediaman ibu bapa mereka di Kampung Pak Bidang Ukong, Daerah Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya’akub yang juga Penghulu Mukim Ukong; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad; Ketua Kampung Ukong, Awang Mohammad Hakimi bin Abdullah Gampar; Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman; pegawai-pegawai kanan ABDB; pegawai-pegawai dari PDI; dan anggota ABDB serta kaum keluarga saudari baharu berkenaan.

    Acara dimulakan dengan bacaan Al-Quran Surah Al-Mu’minun dari ayat 1 hingga 11 yang dibacakan oleh Penolong Timbalan Pegawai Turus Gerakan Agama, Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Kapten Muhd Nasyrul Wafiy bin Haji Mahdini, diikuti bacaan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Soldadu Wahroseliza dan kakak beliau yang dipimpin oleh pegawai-pegawai dari PDI Daerah Tutong.

    Majlis disemarakkan lagi dengan laungan takbir sebanyak tiga kali, diikuti bacaan Doa Pengislaman oleh Pegawai Turus Gerakan Agama, JAMA’AT, Mejar Narul Ismandi bin Haji Samaih, dan diserikan dengan bacaan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai.

    Soldadu Wahroseliza telah memilih Wahroseliza binti Abdullah Buah sebagai nama Islamnya.

    Soldadu Wahroseliza mengucapkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang diadakan kediaman ibu bapanya di Kampung Pak Bidang Ukong, Daerah Tutong. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda