WASHINGTON, 1 DIS – Elon Musk sekali lagi meminta mahkamah Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan pembuat ChatGPT, OpenAI, daripada menukar statusnya menjadi sebuah perusahaan berorientasikan keuntungan, lapor CNBC kelmarin.
Peguam yang mewakili bilionaire itu dan syarikat AI beliau, xAI, mengemukakan injunksi pada Jumaat, lapor laman berita kewangan tersebut.
Injunksi itu juga meminta agar OpenAI dihentikan daripada didakwa menghalang pelabur-pelaburnya daripada membiayai syarikat pesaing.
Langkah itu merupakan perkembangan terbaharu dalam perselisihan perniagaan antara OpenAI dan Musk, yang merupakan salah seorang pengasas kumpulan itu pada 2015 tetapi telah keluar sejak itu.
OpenAI telah menyaksikan profilnya melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menjadi pemain utama dalam bidang kecerdasan buatan yang berkembang pesat.
Musk mendakwa bahawa OpenAI menghalang pelabur-pelaburnya daripada membuat pelaburan dalam pesaing yang boleh meletakkan syarikat permulaan beliau dalam kedudukan yang tidak menguntungkan dalam sektor yang melibatkan berbilion dolar pelaburan.
OpenAI diasaskan sebagai organisasi bukan untung dan telah bertukar kepada sebuah perusahaan berorientasikan keuntungan dengan had tertentu.
Kini, OpenAI sedang berusaha untuk menjadi sebuah korporasi manfaat awam yang berorientasikan keuntungan, yang berpotensi menarik lebih banyak pelaburan.
Setelah meninggalkan OpenAI pada 2018, Musk berkata beliau tidak selesa dengan arah tuju yang berorientasikan keuntungan yang diambil oleh syarikat di bawah pimpinan CEO Sam Altman.
Musk mengemukakan saman terhadap syarikat itu pada Mac, menuduh OpenAI telah melanggar misi asalnya sebagai organisasi bukan untung yang bertujuan untuk menjadikan penyelidikan AI tersedia untuk semua. – AFP