Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fahami tatacara preskripsi baik

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Kesilapan ubat (medication errors) merupakan salah satu kesalahan yang sering dilaporkan dalam Sistem Laporan Insiden dalam Talian Kementerian Kesihatan.

    Faktor-faktor yang menyumbang kepada kesilapan ubat termasuk kurang ilmu pengetahuan, menggunakan nama perubatan yang salah, kesilapan dos termasuk kiraan dos tidak betul serta arahan verbal.

    Oleh itu, Bengkel Preskripsi yang Baik bagi Doktor-doktor Perubatan bertujuan untuk mengetengahkan kesilapan ubat yang biasa dan mengelakkan ia berlaku apabila peserta kembali bertugas, jelas Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui ketika berucap pada bengkel berkenaan yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Beliau menyatakan lagi bahawa perkembangan teknologi mudah alih dan Internet telah membolehkan preskripsi masa kini dan masa hadapan untuk mengakses jumlah maklumat berkaitan farmakoterapi yang besar.

    Di samping itu, peralatan seperti garis panduan rawatan, pemeriksa interaksi ubat dan sistem sokongan keputusan klinikal, juga menjadi amat berguna kepada amalan preskripsi.

    Walaupun alat preskripsi digital berkenaan merupakan satu kemajuan yang besar, jelas Dr Ang, tetapi masalah alert fatigue, di mana preskripsi mengabaikan sebilang besar amaran interaksi walaupun ia adalah relevan secara klinikal, menunjukkan bahawa peralatan digital sahaja tidak boleh menjadi satu-satunya penyelesaian daripada segi keselamatan ubat.

    Oleh itu, peralatan preskripsi digital tambahan adalah penting dalam proses memberikan preskripsi tetapi ia tidak dapat menggantikan keperluan bagi para peserta untuk memberikan preskripsi secara rasional dan bernas.

    Bengkel anjuran Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan itu disertai seramai 25 orang doktor perubatan dari semua hospital dan pusat kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan.

    Bengkel bertujuan untuk memberikan gambaran keseluruhan mengenai kaedah penggunaan prinsip preskripsi yang baik bagi memastikan piawaian keselamatan klinikal dan kualiti penjagaan kesihatan yang tinggi tercapai.

    Dr Ang Swee Hui menyampaikan ucapannya.
    Antara doktor perubatan yang menyertai bengkel berkenaan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda