Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Keselamatan transfusi darah ditekankan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Darah yang didermakan bagi membantu insan-insan yang memerlukan pemindahan darah adalah dipastikan selamat untuk penerima dan juga penderma darah menerusi penguatkuasaan Akta Penyakit-penyakit Berjangkit (Penggal 204).

    Di bawah Bab 11, Akta Penyakit-penyakit Berjangkit (Penggal 204), jika seseorang memberikan maklumat tidak betul boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

    “Jadi adalah penting untuk penderma menjawab soalan yang diberikan dengan betul bagi memastikan keselamatan semua terutama penerima darah,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa ditemu bual pada Kempen Derma Darah Besar-besaran bersempena Hari Penderma Darah Sedunia 2022 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Bab 11 menyatakan mana-mana individu yang menderma darah atau produk darah di negara ini yang memberi maklumat material yang diketahui palsu atau mengelirukan boleh menjadi satu kesalahan dan dikenakan denda tidak melebihi $20,000, hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Bagi tujuan bab 11 itu, maklumat material bermakna maklumat yang berkaitan secara langsung dengan kemungkinan penularan penyakit berjangkit oleh penggunaan sebarang darah atau produk darah.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan beramah mesra bersama para penderma darah yang menyertai kempen derma darah di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
    Para penderma mengisi borang soalan saringan sebelum menderma darah.

    Mengulas lanjut mengenai akta itu, Yang Berhormat Dato menyatakan ia akan memberi keyakinan kepada penerima darah dengan mengetahui segala proses dalam pendermaan darah dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.

    Di samping itu, tambahnya lagi, selain daripada soalan-soalan yang perlu dijawab oleh para penderma darah dengan betul dan telus, Kementerian Kesihatan juga melaksanakan pemeriksaan darah untuk memastikan tiada penyakit yang berjangkit terutamanya HIV dan Hepatitis B atau C.

    Beliau menekankan sekali lagi bahawa amat penting bagi para penderma untuk menjawab segala soalan saringan berkenaan dengan betul dan telus di mana jika terdapat soalan yang tidak bertepatan, jalan terbaik bagi mereka untuk merujuk kepada pakar.

    Manakala di bawah bab 25 akta sama, mana-mana orang yang mengetahui dirinya dijangkiti AIDS atau HIV dan menderma darah di mana-mana tabung darah di Negara Brunei Darussalam atau melakukan sesuatu yang menyebabkan jangkitan AIDS atau HIV kepada orang lain boleh dikenakan denda tidak melebihi $50,000, hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Beliau turut mengatakan menderma darah itu merupakan satu tindakan yang mulia di mana satu unit darah itu dapat menyelamatkan tiga nyawa. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Dato menyeru para penderma darah untuk menjaga kesihatan mereka terutama daripada penyakit tidak berjangkit untuk memastikan penyakit tidak berjangkitnya terkawal bagi membolehkan mereka untuk menderma darah.

    “Apa yang penting lagi, ialah menjauhkan diri daripada risiko atau kegiatan yang berisiko tinggi terutama yang berkaitan dengan penyakit berjangkit termasuk hubu-ngan seksual berisiko tinggi seperti bertukar-tukar pasangan atau melakukan kegiatan seks tanpa perlindungan dan sebagainya,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato menyarankan mereka yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi bagi penyakit berjangkit untuk tidak menderma darah kerana walaupun mereka dalam keadaan sihat, penyakit atau virus berkenaan boleh menjangkiti secara senyap.

    Walaupun kemungkinan itu rendah, tambah beliau lagi, ia boleh sahaja menyebabkan penyakit itu berjangkit kepada orang yang menerima darah berkenaan.

    Kementerian Kesihatan menekankan sekiranya individu yang tergolong berisiko tinggi dan berkemungkinan pembawa kuman penyakit berjangkit, individu berkenaan dinasihatkan untuk tidak menderma darah demi menjaga keselamatan pesakit yang menerima darah.

    Dalam masa sama, kementerian itu mengharapkan agar orang ramai tidak berasa cemas atau takut menderma darah disebabkan akta itu dan berharap supaya lebih ramai orang akan tampil ke hadapan untuk menderma sama ada datang terus ke pusat pendermaan darah atau tabung darah di hospital daerah atau ke kempen-kempen bagi menampung penggunaan darah yang semakin meningkat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...