Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Pentingnya tingkatkan kesedaran pertolongan cemas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Kementerian Kesihatan dalam menyedari pentingnya untuk meningkatkan kesedaran dan latihan dalam pertolongan cemas dan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memastikan ilmu pengetahuan pertolongan cemas dapat disebarkan sepanjang hayat kepada semua orang di semua tempat menurut keperluan pembelajaran khusus individu.

    Inisiatif yang dilaksanakan berkenaan termasuk memperkenalkan kursus pertolongan cemas dan CPR oleh Jawatankuasa Resusitasi Kebangsaan Brunei (BNRC) pada 2004 dan memasukkan komponen AED ke dalam kursus pada 2013.

    Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dalam ucapannya semasa Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bank Baiduri dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.

    Di samping itu, kementerian turut bekerjasama dengan sektor-sektor lain seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan untuk menghasilkan Buku Panduan Asas bagi Kecemasan dan Keselamatan Awam pada 2012 dan bersama Kementerian Pendidikan dalam merangka Garis Panduan bagi SOP untuk Lawatan pada 2015.

    Selain itu, jelasnya lagi, Kementerian Kesihatan juga telah mengadakan aktiviti pendekatan masyarakat bagi latihan AED, CPR dan pertolongan cemas di Mukim Melilas pada 2019 dan Mukim Sukang pada 2020.

    Haji Maswadi semasa menyaksikan majlis penandatanganan MoU antara PBSM dan Bank Baiduri, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Haji Maswadi semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

    Dalam menyokong Hari Pertolongan Cemas Sedunia, Kementerian Kesihatan bermatlamat untuk mencapai sasaran sehingga 50 peratus penduduk negara untuk mempunyai latihan asas pertolongan cemas dan CPR menjelang 2035.

    Untuk mencapai sasaran berkenaan dan memastikan latihan serta amalan pertolongan cemas dan CPR diselaraskan, Kementerian Kesihatan telah menubuhkan Lembaga Resusitasi Kebangsaan pada Julai lalu di mana salah satu peranannya adalah untuk mengawasi serta memberikan nasihat bagi semua perkara yang berkaitan dengan latihan dan amalan resusitasi di Negara Brunei Darussalam termasuk CPR dan pertolongan
    cemas.

    Beliau menyatakan harapan supaya semua orang akan terlibat secara aktif di mana ia bukan sahaja menjadi tanggungjawab Kementerian Kesihatan tetapi melibatkan semua pihak serta rakan kongsi seperti PBSM Negara Brunei Darussalam akan dan dapat memainkan peranan signifikan dalam membantu kerajaan untuk mencapai saranan itu.

    Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan juga menggalakkan organisasi relevan yang lain dan penyedia kursus untuk tampil ke hadapan serta bekerjasama dalam mempromosikan kesedaran dan latihan bagi pertolongan cemas dan CPR.

    Ia akan membantu untuk menepati dengan Seksyen 5, Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (Pertolongan Cemas) 2021, yang menetapkan bahawa seorang pemberi pertolongan cemas diperlukan bagi setiap 50 orang.

    Kementerian Kesihatan juga menggalakkan orang ramai termasuk golongan belia untuk mendapatkan latihan pertolongan cemas dan CPR sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka dan menyeru bagi penyertaan serta penglibatan aktif daripada semua kerana latihan pertolongan cemas bukan sahaja sebuah kemahiran hidup yang penting tetapi ia juga mampu memberikan inspirasi kepada pemimpin muda negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...