Wednesday, November 27, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum perkukuh hubungan pelaburan, perdagangan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan pelaburan dan perdagangan dua hala, Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam menghoskan Forum Perniagaan UK-Brunei dan Makan Tengah Hari Rangkaian yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bokiah, hari ini.

    Forum itu dihadiri oleh wakil-wakil perdagangan dan syarikat United Kingdom (UK), sektor awam dan swasta Brunei serta pihak berkepentingan utama.

    Dengan menumpukan kerjasama baharu, acara itu mengetengahkan sektor-sektor penting bagi kolaborasi termasuk pendidikan, tenaga bersih, teknologi digital dan logistik maritim iaitu bidang-bidang yang dikenal pasti penting bagi pertumbuhan masa depan Brunei.

    Mengetuai Misi Perdagangan UK ke Brunei ialah Timbalan Pesuruhjaya Perdagangan bagi Asia Tenggara, Rhiannon Harries bersama wakil-wakil dari Cambridge University Press & Assessment, Scottish Development International, Pearson, Decim Mission, Department for Business and Trade, EGB Engineering, Newcastle University, Ion Venture, Oxgrin dan uTalk.

    Forum dimulakan dengan ucapan alu-aluannya daripada Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Catherine Pochkhanavala-Cleeve dan Rhiannon Harries.

    Ahli-ahli panel semasa mengadakan perbincangan pada forum tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara yang hadir pada forum itu. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Para peserta forum berpeluang untuk menyaksikan pembentangan dan sesi perbincangan panel yang meneroka peluang dalam ekonomi dinamik Brunei dan peranannya sebagai pintu masuk ke rantau ASEAN.

    Sesi pembentangan termasuk Peluang-peluang Pelaburan Brunei yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Daniel Leong; Pelan Induk Digital Brunei yang disampaikan oleh wakil dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC); Peluang-peluang di bawah CPTPP yang disampaikan oleh Pengarah Perdagangan, Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur, Richard Colley; serta pengenalan kepada Scottish Development International (SDI) oleh Pakar Perdagangan Kanan, SDI, Sanson Selvanathar.

    Acara diakhiri dengan majlis makan tengah hari rangkaian, yang menawarkan para peserta peluang untuk terlibat salam dalam perbincangan langsung dan membina kerjasama yang bermatlamat untuk meningkatkan pelaburan serta perdagangan dua hala.

    Mengulas mengenai forum berkenaan, Catherine Pochkhanavala-Cleeve berkata ia mencerminkan komitmen bersama untuk mendalami lagi kolaborasi ekonomi di mana minat yang kuat dari kedua-dua buah negara menunjukkan potensi yang belum diterokai untuk memajukan pelaburan serta perdagangan dalam sektor-sektor utama yang kritikal kepada pembangunan mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda