SAN FRANCISCO, 12 DIS – Google semalam mengumumkan pelancaran Gemini 2.0, model kecerdasan buatannya yang paling maju setakat ini, ketika gergasi teknologi dunia berlumba-lumba untuk menerajui teknologi yang pesat membangun.
Ketua Pegawai Eksekutif, Sundar Pichai berkata model baharu itu akan menandakan apa yang syarikat panggil sebagai ‘era agenik baharu’ dalam pembangunan AI, dengan model AI direka untuk memahami dan membuat keputusan tentang dunia di sekeliling awda.
“Gemini 2.0 adalah tentang menjadikan maklumat lebih berguna,” kata Pichai dalam pengumuman itu, menekankan keupayaan model yang dipertingkatkan untuk memahami konteks, memikirkan pelbagai langkah ke hadapan dan mengambil tindakan yang diselia bagi pihak pengguna.
Perkembangan itu ‘membawa kami lebih dekat kepada visi kami sebagai pembantu sejagat,’ tambahnya.
Gergasi teknologi sedang mengambil langkah untuk mengeluarkan model AI yang lebih berkuasa walaupun kosnya yang besar dan beberapa soalan tentang kegunaannya kepada ekonomi yang lebih luas.
Teknologi tersebut dikuasakan oleh perkakasan TPU (Unit Pemprosesan Tensor) generasi keenam Google, yang digelar Trillium, yang kini telah disediakan oleh syarikat itu secara amnya kepada pelanggan.
Google menekankan bahawa pemproses Trillium digunakan secara eksklusif untuk latihan dan operasi menjalankan Gemini 2.0.
Google berkata berjuta-juta pemaju sudah membina aplikasi dengan teknologi Gemini, yang telah disepadukan ke dalam tujuh produk Google, setiap satu melayani lebih daripada dua bilion pengguna. – AP