Monday, January 13, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haji Sadin dipilih ketua kampung baharu

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 12 JAN – Haji Sadin bin Ibrahim telah dipilih sebagai Ketua Kampung baharu STKRJ Lorong Tiga Selatan, Seria pada Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung di Dewan Pejabat Daerah Belait Cawangan Seria hari ini.

    Pengundian itu menggunakan kaedah kertas undi dan juga aplikasi mudah alih e-Undi PMKK yang telah bermula pada 10 Januari dan ditutup hari ini.

    Hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah, wakil daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Mohammad Hazeeq bin Arsad serta penghulu dan ketua-ketua kampung dari Daerah Belait.

    Calon tunggal, Haji Sadin, berusia 67 tahun, merupakan graduan City and Guilds of London Institute dan pernah memegang jawatan sebagai ketua kampung.

    Seramai 82 penduduk telah bersetuju memilih calon untuk mengisi jawatan berkenaan dan hanya seorang telah mengundi menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK manakala tiga orang tidak bersetuju dan tidak ada undi yang rosak.

    Keputusan pengundian akan dikemukakan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung di Kementerian Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

    Haji Amirol Hafidzin menyampaikan ucapan semasa pengundian tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Gambar menunjukkan pengiraan undi sedang diadakan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Haji Saidin (kiri) bersama penyokong semasa pengiraan undi kelmarin. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Penduduk kampung membuang undi di Dewan Pejabat Daerah Belait Cawangan Seria kelmarin. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda