Wednesday, January 22, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 100 hadiri majlis tahlil anjuran Jabatan Pendidikan Khas

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Khas (FITRAH) telah mengadakan Majlis Membaca Tahlil dan Doa Arwah baru-baru ini bagi memperingati pegawai dan kakitangan Jabatan Pendidikan Khas dan ahli-ahli FITRAH serta keluarga yang telah kembali ke Rahmatullah.

    Majlis yang berlangsung di Telanai Hall, Beribi itu diadakan sempena memperingati 30 tahun penubuhan Unit Pendidikan Khas, yang kini dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis adalah Dato Paduka Dr Haji Omar bin Haji Khalid yang disambut oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Khas, Dr Eddy Fazlin bin Haji Amdan.

    Majlis yang dihadiri oleh hampir 100 tetamu termasuk Yang Dipertua FITRAH, Yang Mulia Dayang Hajah Norjum binti Haji Yusop, selaku Pengerusi Bersama, mantan ketua-ketua dan mantan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Khas, timbalan pengarah, penolong pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.

    Dr Eddy Fazlin dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan pencapaian penting Jabatan Pendidikan Khas sepanjang 30 tahun termasuk peningkatan status Unit Pendidikan Khas menjadi Jabatan Pendidikan Khas pada tahun 2021, penerbitan Buku Panduan iaitu buku Rangka Kerja Pendidikan Khas pada tahun 2022 dan penerbitan Buku Kurikulum Pendidikan Khas (peringkat rendah dan menengah).

    Selain itu, kejayaan penubuhan Program ShInE dengan tujuan memberi sokongan kepada pelajar berkeperluan khas dan Program Strive serta Tenaga Bantu Pendidik Khas turut dikongsikan.

    Majlis berkenaan menjadi platform bermakna bagi pegawai-pegawai yang telah bersara dan yang masih bertugas untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan khas di Negara Brunei Darussalam.

    Dr Eddy Fazlin menyampaikan ucapan.
    Tetamu kehormat, Dato Paduka Dr Haji Omar dan Yang Mulia Dayang Hajah Norjum di majlis berkenaan.
    Gambar ramai antara yang hadir ke majlis tahlil berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda