Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Hatrik Ronaldo selamatkan Man Utd

    MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 17 APRIL – Cristiano Ronaldo menjaringkan hatrik ketika Manchester United meraih kemenangan 3-2 ke atas Norwich kelmarin untuk mengambil kesempatan daripada kekalahan Arsenal dan Tottenham dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

    Deretan kemenangan Spurs berakhir dengan kekalahan 1-0 di tempat sendiri kepada Brighton, manakala pasukan Gunners ditundukkan 1-0 di Southampton, dengan kekalahan ketiga berturut-turut.

    Hatrik kelab ke-50 Ronaldo telah mencetuskan kegembiraan di kalangan peminat di Old Trafford ketika United memintas kedudukan Arsenal di tangga kelima dengan perbezaan gol, tiga mata di belakang Tottenham.

    Terdapat kekacauan di kalangan penyokong United sebelum perlawanan bermula di mana ramai yang tidak hadir ke stadium sehingga minit ke-17 untuk melakukan pembantahan ke atas 17 tahun pemilikan keluarga Glazer ke atas kelab itu.

    Mereka yang lewat tiba pada perlawanan tersebut terlepas menyaksikan gol pertama Ronaldo pada petang itu yang dibantu dengan hantaran lintang Anthony Elanga.

    Reaksi Cristiano Ronaldo selepas menjaring gol ketiganya semasa perlawanan Liga Perdana antara Manchester United dan Norwich City di stadium Old Trafford. – AP

    Pemain berusia 37 tahun itu kemudiannya menjaringkan gol melalui sepakan sudut Alex Telles untuk mencatat gol ke-20nya pada musim ini walaupun United ketika ini bergelut.

    Bagaimanapun, masalah pertahanan The Red Devils ditembusi oleh Canaries yang berada di kedudukan terbawah, yang hanya menjaringkan 20 gol dalam 31 perlawanan liga sebelum ini.

    Kieran Dowell merapatkan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum Teemu menyamakan kedudukan tujuh minit dalam separuh masa kedua.

    David de Gea kemudiannya terpaksa melakukan penyelamatan yang cemerlang untuk menafikan percubaan Teemu dalam melengkapkan kebangkitan semula Norwich.

    Namun pemain utama United, Ronaldo berjaya melakukan sepakan percuma yang menarik dan melepasi genggaman Tim Krul, 14 minit sebelum masa tamat untuk membawa Manchester United ke perlawanan penting minggu hadapan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    24 maut lebuh raya runtuh di selatan China

    BEIJING, 1 MEI - Sekurang-kurangnya 24 orang maut selepas sebahagian lebuh raya runtuh akibat hujan lebat di wilayah Guangdong, selatan China hari ini, kata...