Menyerahkan soal rezeki dan zuriat kepada Allah SWT, penyanyi Malaysia, Hazama mengakui dia dan isteri iaitu Genervie Kam tetap hidup bahagia meskipun tanpa kehadiran anak.
Pernah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), Hazama atau Hazama Ahamd Azmi, 40, bagaimanapun berkata percubaan dilakukan itu masih belum berjaya.
Malah, usaha tersebut juga dianggap sia-sia memandangkan dia seorang perokok.
“Anak itu saya serah pada Allah, kalau ada… Alhamdulillah, jika tidak saya okay saja.
“Sedih itu ada tapi saya seorang yang reda. Kalau soalan ini ditanya kepada orang perempuan mungkin lebih sensitif tapi kami masih mencuba.
“Saya sebenarnya pernah buat proses IVF sebelum ini tetapi ada masalah jadi saya rasa membazir kalau buat lagi kerana saya juga perokok, jadi saya berpegang pada rezeki Tuhan,” katanya kepada mStar.
Hazama berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran album keduanya yang berjudul Pujangga di Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Selangot pada Khamis.
Tidak hanya itu, Hazama juga mengakui jadual kerja yang agak padat menjadi antara punca proses IVF sebelum ini tidak berjaya.
Malah isterinya juga pernah mengandung luar rahim dan berisiko untuk hamil lagi.
“Komitmen isteri dan saya buatkan kami tak ada masa yang terbaik untuk kami relaks dan bersedia.
“Ketika proses itu kita tak boleh stres tapi isteri saya seorang yang sibuk sampai dia terpaksa ditahan di wad hospital tempoh hari gara-gara burn out.
“Isteri saya juga pernah mengalami kandungan luar rahim, jadi doktor juga maklum ada risiko,” jelasnya.
Pun begitu, Hazama berkata kehidupan mereka tidak sepi daripada suara anak-anak memandangkan dia turut membesarkan anak saudaranya. – Agensi