Pelakon Malaysia, Zarina Zainuddin berkongsi khabar duka ibunya iaitu Zahura Abdul Mutalib meninggal dunia pada pagi tadi.
Zarina, 54, memberitahu kali terkahir dia menghubungi Allahyarhamah pada pukul 2:30 pagi selepas pulang dari lokasi penggambaran.
“Mak saya Zahura binti Abdul Mutalib baru saja meninggal dunia selepas subuh pagi ini.
“Kali terakhir saya bermesej dengan mak saya malam tadi waktu saya balik dari penggambaran jam 2:30 pagi. Al-fatihah,” katanya.
Menurut mStar, Zarina berkongsi perkara itu menerusi hantaran video yang memaparkan keadaan ibunya sebelum menghembuskan nafas terakhir di Instagram.
Jenazah akan diuruskan dan dikebumikan di Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, Zarina turut memohon orang ramai mendoakan Allahyarham agar ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
“Tolong doakan mak saya semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman,” ujarnya.
Zarina bagaimanapun tidak mendedahkan punca pemergian Allahyarham. – Agensi