Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jalan Masjid India kembali meriah selepas Operasi SAR tamat

    KUALA LUMPUR, 1 SEPT – Jalan Masjid India di sini kembali meriah dengan pengunjung mula memenuhi premis perniagaan yang beroperasi sepenuhnya hari ini selepas insiden tanah jerlus 23 Ogos lepas.

    Tinjauan Bernama mendapati deretan kedai berhadapan dengan lokasi kejadian mula dibuka selepas sebahagiannya ditutup sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata operasi SAR bagi mengesan G Vijaya Lakshmi, 48, dihentikan selepas mengambil kira isu keselamatan serta risiko kepada anggota pasukan SAR dan keselamatan kawasan di sekitar lokasi insiden.

    Pekerja di sebuah kedai barangan perhiasan dikenali sebagai Ibrahim berkata sepanjang tempoh sembilan hari SAR,  premis itu sangat kurang dikunjungi. 

    “Pada hari pertama kejadian, kedai tutup. Selepas beberapa hari, kedai dibuka semula tapi pengunjung sangat kurang berbanding sebelum kejadian.

     “Boleh dikatakan 80 peratus pengunjung hilang. Lepas SAR ini, harap orang ramai boleh datang semula,” katanya kepada Bernama.

    Seorang pengunjung Mohd Azmi Halim, 43, berharap usaha membaik pulih Jalan Masjid India dapat dilakukan segera kerana laluan berkenaan adalah kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

    “Orang ramai selalu datang sini. Barangan berpatutan. Bila jadi insiden ini, orang takut nak datang. Bila ada usaha jalan dibaik pulih, orang ramai boleh datang untuk beli barang,” katanya. – Bernama

    Keadaan terkini lokasi berhampiran insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang dibuka kembali kepada pengunjung pada 1 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda