Wednesday, November 27, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun isytihar pulau Amami Oshima bebas cerpelai

    TOKYO, 4 SEPT – Jepun telah menghapuskan semua cerpelai di sebuah pulau subtropika, kata pegawai, selepas haiwan tersebut tidak memburu ular berbisa dan sebaliknya memburu arnab tempatan yang terancam.

    Kira-kira 30 ekor cerpelai yang lali terhadap bisa ular telah dilepaskan di Amami Oshima, sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO, pada akhir 1970an untuk mengawal populasi habu, sejenis ular berbisa yang gigitannya boleh membawa maut kepada manusia.

    Walau bagaimanapun, ular-ular tersebut kebanyakannya aktif pada waktu malam ketika cerpelai lebih suka tidur, dan mamalia bergigi tajam ini beralih kepada arnab Amami tempatan, sekali gus mengurangkan jumlahnya secara drastik.

    “Dikatakan bahawa cerpelai, yang aktif pada waktu siang, jarang bersemuka dengan ular habu yang aktif pada waktu malam,” kata seorang pegawai tempatan kepada AFP.

    Arnab-arnab tersebut hanya hidup di Amami Oshima dan di sebuah pulau lain, serta disenaraikan sebagai terancam dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN).

    Populasi cerpelai telah melonjak kepada kira-kira 10,000 ekor menjelang tahun 2000 dan pihak berkuasa Jepun memulakan program penghapusan yang dilaporkan termasuk anjing penghidu yang dilatih khas.

    Kerajaan mengisytiharkan pulau tersebut bebas cerpelai kelmarin, hampir 25 tahun selepas program itu dimulakan dan hampir 50 tahun sejak inisiatif yang tidak berjaya itu bermula.

    “Ini adalah berita baik untuk wilayah kami dan untuk pemuliharaan ekosistem berharga tapak Warisan Semula Jadi Dunia di Amami,” kata gabenor tempatan, Koichi Shiota dalam satu kenyataan. – AFP

    Populasi cerpelai telah melonjak kepada kira-kira 10,000 ekor menjelang tahun 2000. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda