GEORGE TOWN, 12 JULAI – Perseorangan profesional wanita negara Goh Jin Wei akan menerima panduan, bimbingan dan sokongan berterusan daripada jurulatihnya Nova Armada menerusi panggilan telefon apabila beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, hujung bulan ini.
Ia berikutan permintaannya untuk membawa jurulatih dari Indonesia itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak berjaya susulan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Pemain berusia 24 tahun itu berkata walaupun tanpa jurulatihnya, namun Persatuan Badminton (BAM) telah menyediakan jurulatih dan beliau telah menyesuaikan diri dengan jurulatih berkenaan.
“Jurulatih (Nova Armada) akan terus beri sokongan, bimbingan dan panduan menerusi panggilan telefon sepanjang saya di Sukan Olimpik. Walaupun kecewa beliau tidak dapat bersama saya di sana (Paris) namun terima kasih kepada BAM yang telah sediakan jurulatih.
“Secara keseluruhannya iaitu mental dan fizikal saya sekarang ini adalah baik. Ada tempoh dalam dua minggu lagi saya akan cuba yang terbaik untuk semua terutama negara Malaysia,” katanya kepada pemberita di pejabat Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA), di Bukit Dumbar di sini hari ini. Beliau ditemui selepas menerima sumbangan daripada PBA sebanyak RM20,000 yang disampaikan oleh Presidennya, Datuk Kah Kau Kiak.
Pada majlis itu, Jin Wei turut menerima sumbangan RM5,000 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang disampaikan oleh Pengerusi Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi.
Menurut Jin Wei, beliau akan berlepas ke Paris pada 23 Julai ini, dan badminton akan membuka gelanggang pada 27 Julai manakala undian pemain dijalankan hari ini. – Bernama