BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Jawatankuasa Kebangsaan Anti-Pemerdagangan Orang (JKAPO) telah menerima kunjungan dari perwakilan Office to Monitor and Combat Trafficking in Persons (J/TIP), dari Jabatan Negara, Amerika Syarikat yang berada di Negara Brunei Darussalam untuk lawatan kerja selama dua hari pada 8 hingga 9 Januari.
Lawatan atas jemputan dari JKAPO berkenaan memberi peluang kepada delegasi J/TIP untuk melihat sendiri komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menguatkuasakan undang-undang dan pelaksanaan dasar-dasar bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang (TIP).
Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad yang juga selaku Pengerusi JKAPO telah mengalu-alukan delegasi J/TIP yang diketuai oleh Pemangku Pengarah J/TIP, Tuan Jonathon Turley, dan Desk Officer for Brunei Darussalam ,Tuan Dan Muncaster; bersama-sama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland.
Mesyuarat turut dihadiri oleh ahli-ahli JKAPO yang lain.
Pada mesyuarat tersebut, delegasi J/TIP telah mengiktiraf usaha JKAPO khususnya dalam aspek pencegahan, perlindungan dan pendakwaan yang berkaitan yang melambangkan komitmen ke arah menangani dan membanteras jenayah TIP secara efektif dan menyeluruh.
Kedua-dua pihak turut berpeluang untuk menerokai kaedah dan proses alternatif bagi mengenal pasti mangsa-mangsa TIP dan seterusnya bersetuju untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani jenayah TIP dengan lebih efektif.
Kedua-dua pihak juga membincangkan peluang kerjasama termasuk melalui pertukaran amalan terbaik dan peluang latihan bagi agensi-agensi undang-undang dan penguatkuasaan, kehakiman dan pekerja sosial.
Pada hari pertama lawatan, delegasi J/TIP telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa buah agensi termasuk Pejabat Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri termasuk Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai dasar dan mekanisme negara untuk menangani jenayah TIP khususnya Prosedur Operasi Tetap Kebangsaan (National Standard Operating Procedure-NaSOP).
Sesi-sesi perbincangan tersebut turut menyentuh mengenai usaha negara dari segi pendakwaan, mengenal pasti mangsa-mangsa jenayah TIP dan prosedur operasi tetap berhubung pengambilan pekerja-pekerja asing.
Lawatan berakhir dengan kunjungan ke rumah perlindungan khas bagi mangsa-mangsa atau individu yang disyaki mangsa jenayah TIP yang menunjukkan komitmen negara dalam menyediakan khidmat bantuan untuk menjaga kesejahteraan mangsa-mangsa jenayah TIP.