JAKARTA, 20 OGOS – Presiden Joko Widodo (Jokowi) sedang menuju ke Afrika untuk mengadakan lawatan kerja ke empat negara di rantau itu, menjadi lawatan pertamanya ke benua itu sebagai presiden, lapor agensi berita ANTARA.
Ketua negara itu mengumumkan agendanya semasa sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Sumatera Utara, hari ini.
“Hari ini, bersama delegasi terhad, saya akan berlepas ke Afrika untuk melawat Kenya, Tanzania, Mozambique dan Afrika Selatan. Ini akan menjadi lawatan presiden pertama saya ke rantau Afrika,” katanya yang disiarkan oleh saluran YouTube Sekretariat Presiden, hari ini.
Presiden Jokowi berkata lawatannya ke Afrika didorong oleh kenyataan bahawa Indonesia memiliki hubungan sejarah yang panjang dengan benua tersebut, memandangkan negara itu adalah pelopor dan tuan rumah untuk Persidangan Asia-Afrika yang berlangsung di Bandung, Jawa Barat, pada 1955.
Beliau mengulangi kenyataan bahawa persidangan antarabangsa itu memainkan peranan penting dalam pembentukan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di tengah-tengah ketegangan semasa Perang Dingin. – Bernama