Sebelum beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35, penyanyi Kaka Azraff tampil dengan lagu terbaharu bergandingan dengan penyanyi kelahiran Brunei Darussalam yang menapak di Indonesia iaitu Jazz Hayat @Jaz berjudul Karma.
Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, dia bersetuju untuk bergandingan dengan Jaz kerana lagu tersebut mempunyai melodi dan susunan muzik yang sememangnya sedap didengari.
Malah, Kaka berasa teruja kerana buat pertama kali dia menyanyikan sebuah lagu belada yang memperlihatkan sisi lain dirinya dan turut mendapat bantuan daripada penyanyi Afif Tirmizie dari segi vokal.
“Paling meyakinkan saya adalah melodi serta susunan muzik itu sendiri memang sedap. Saya rasa ia sebuah lagu balada dan runut bunyi yang sangat berkualiti. Sebenarnya saya tidak berjumpa dan berhubung dengan Jaz.
“Kami merakamkan lagu ini secara berasingan memandangkan dengan keadaan dan Jaz terima audio yang sudah ada rakaman vokal saya. Karma sangat berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini.
“Saya sendiri tak pernah terbayang akan nyanyikan lagu sebegini. Sebenarnya ia menunjukkan sisi lain Kaka Azraff kerana ini lagu balada pertama yang benar-benar menunjukkan vokal saya yang dibantu oleh Afif Tirmizie,” katanya kepada wartawan.
Jaz antara penyanyi muda di Indonesia yang kian mendominasi carta-carta muzik di sana dan mula mendapat perhatian selepas muncul dengan lagu berjudul Dari Mata pada tahun 2016.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Gila ini mengakui lagu tersebut merupakan percubaan keluar daripada zon selesanya dan untuk mendapatkan harmoni dalam nyanyian mereka sesuatu yang sukar. – Agensi