Monday, December 2, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kampung Buangkok FC benam Kota Ranger BK FC

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Kampung Buangkok FC berpesta gol dengan mencatat kemenangan besar 7-1 ke atas Kota Ranger BK FC dalam persaingan Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) 2024/25 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Kemenangan penuh bergaya itu meletakkan pasukan jemputan dari Republik Singapura kini di kelompok tiga pasukan terbaik dengan mengutip sembilan mata selepas melalui lima perlawanan.

    Pemain sensasi dari Indonesia, Bambang Bayu Saptaji memperlihatkan kelebihan dengan mengemudikan jentera serangan Kampung Buangkok FC yang bertali arus sehingga pemain import muda itu membuka tirai jaringan pada minit ke-4.

    Sentuhan menarik Habibi Sulan kemudiannya berjaya menambah jaringan pada minit ke-8 sebelum Bambang Bayu Saptaji sekali lagi melepaskan rembatan menarik menerusi umpanan dari sepakan bebas luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-9.

    Kota Ranger BK FC bagaimanapun berjaya memperoleh jaringan pada minit ke-15 menerusi Al-Izzra Abdullah untuk kedudukan 1-3 pada separuh masa pertama.

    Reaksi para pemain Kampung Buangkok FC selepas meraih kemenangan. – GAMBAR SERAHAN YFL
    GAMBAR SERAHAN YFL
    GAMBAR SERAHAN YFL
    GAMBAR SERAHAN YFL

    Kampung Buangkok FC kembali agresif pada babak kedua apabila Habibi Sulan sekali lagi menghadiahkan jaringan pada minit ke-24 untuk pasukannya, disusuli dengan gol hatrik oleh Bambang Bayu Saptaji pada minit ke-25.

    Ketika Kota Rangers BK FC bangkit untuk mencari peluang bagi menambah jaringan, pemain muda Kampung Buangkok FC, Razaki Abdul Rahman, sebaliknya berjaya menambah duka Kota Ranger BK FC yang hampa menyaksikan sentuhan tajam pada minit ke-29 sementara Mohd Hussaini Abdullah melengkapkan pasukan dari Republik Singapura itu pulang dengan kemenangan 7-1.

    “Momentum permainan kami bertambah baik, di mana pemain tidak mensia-siakan peluang yang terhidang. Ternyata rancangan dalam latihan telah membuahkan hasil dan saya bangga dengan semangat juang pemain yang tinggi yang membantu kemenangan kami hari ini,” jelas ketua jurulatih Kampung Buangkok FC, Ahmad Hanif Sarmin.

    Manakala dalam perlawanan yang berlangsung kelmarin, Kampung Buangkok FC telah menewaskan pasukan Shah United dengan jaringan 8-2, dengan Bambang Bayu Saptaji menyumbangkan empat gol dan dua gol telah dijaringkan oleh Razaki Abdul Rahman.

    Sementara Mohammad Husaini Abdullah dan Muhammad Arif Jamaludin masing-masing menghadiahkan jaringan untuk Kampung Buangkok FC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda