Thursday, November 28, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak Zimbabwe belajar cara elak ancaman hidupan liar

    ZIMBABWE – Di pinggir kawasan pemuliharaan yang melindungi hidupan liar di tenggara Zimbabwe, Esther Bote yang berusia 14 tahun bangun pada waktu subuh untuk menjalani rutin harian yang telah biasa dilakukannya.

    Dia mengemas rumah, menyalakan api, memasak, mandi dan memakai pakaian seragam sekolahnya yang kemas berwarna kelabu dan putih. Kemudian tiba masanya untuk tugas yang dianggapnya paling berbahaya: berjalan kaki sejauh lima kilometer ke sekolah melalui laluan belukar dan hutan di mana haiwan berbahaya mungkin bersembunyi.

    Remaja itu telah hidup dengan ancaman sedemikian untuk beberapa waktu tetapi tidak pernah terbiasa dengannya. Kanak-kanak seawal usia lima tahun, ada yang dipegang tangan oleh rakan sebaya atau adik-beradik yang lebih tua, berjalan pantas melalui hutan tebal ke sekolah dan kemudian pulang ke rumah.

    “Kadang-kadang kami melihat tapak kaki haiwan. Kami melihat kesan tapak kaki itu dan dapat mengetahui bahawa gajah masih ada,” katanya kepada The Associated Press dari rumahnya, di mana dia tinggal bersama datuk dan neneknya yang sudah tua.

    Di kawasan hutan tebal yang lembap di daerah separa kering di Zimbabwe ini, kemarau berulang, yang dipengaruhi oleh fenomena cuaca El Nino yang berlaku secara semula jadi dan perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia, telah menyebabkan kekurangan makanan dan air, menyebabkan manusia dan haiwan bersaing untuk mendapatkan sumber.

    Esther menghidu tahi gajah sambil dilihat oleh renjer di pinggir Save Valley Conservancy, Zimbabwe pada 10 Julai lalu. – AP

    Hidupan liar semakin mendekati populasi manusia, dan kanak-kanak terpaksa belajar bagaimana mereka boleh hidup dalam realiti baharu ini tanpa meletakkan diri mereka dalam risiko yang terlalu besar. Untuk menyesuaikan diri, pelajar sekolah kini mengambil pelajaran asas dalam tingkah laku haiwan.

    Pada suatu hari pada bulan Julai, ketika Esther dan rakan-rakannya melihat kesan tapak kaki gajah dalam perjalanan pulang dari sekolah, mereka melaporkannya kepada renjer hidupan liar. Haiwan-haiwan itu telah melintasi ladang pertanian dan laluan belukar yang selalu mereka gunakan untuk pergi dan balik dari sekolah. Beberapa hari sebelum itu, seorang kanak-kanak cedera parah akibat serangan buaya.

    Walaupun tiada kematian dilaporkan, Esther dan rakan-rakannya masih berhati-hati.

    “Kami biasanya berjalan dalam kumpulan untuk berasa lebih selamat,” kata Esther.

    Sejak tahun lepas, Save Valley Conservancy yang dimiliki secara persendirian dan agensi taman negara telah menjalankan program untuk kanak-kanak sekolah tentang cara mengenali tanda-tanda bahaya dan cara hidup bersama hidupan liar. Puluhan pelajar seperti Esther kini mampu mengenal pasti pelbagai kesan tapak kaki hidupan liar, bunyi haiwan dan boleh membaca arah angin dengan melihat pasir yang ditiup dan tahu bagaimana dan bila untuk berlindung.

    “Orang yang paling terjejas ialah kanak-kanak. Mereka yang pergi ke sekolah, yang pergi mengambil air, yang pergi mencari kayu api,” kata Dingani Masuku, pengurus perhubungan komuniti untuk Save Valley Conservancy. “Sebab itu kami menyasarkan sekolah supaya mereka tahu bagaimana tingkah laku haiwan dan apa yang perlu dilakukan dengan haiwan itu.”

    Beliau berkata mereka cuba memupuk ‘rasa tanggungjawab dalam diri anak-anak’ supaya mereka ‘tidak melihat haiwan sebagai musuh, tetapi sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat, sesuatu yang harus dihormati’.

    Pada suatu hari yang cerah baru-baru ini, sekumpulan kanak-kanak duduk di luar di atas tanah berdebu dalam keadaan panas terik untuk salah satu sesi di Sekolah Menengah Chiyambiro. Seorang remaja berusia 18 tahun yang baru meninggalkan sekolah dan kini menjadi sebahagian daripada kumpulan baharu renjer wanita muda dari komuniti itu mengajar mereka tentang tingkah laku haiwan dan cara melindungi diri.

    “Jangan dekati haiwan. Jika ia seekor singa, ia mencari makanan. Itulah sebabnya ia berada dalam komuniti. Ia mencari mangsa yang mudah dan awda mungkin menjadi mangsanya,” katanya sambil memakai pakaian seragam hijau jenis tentera. Beberapa kanak-kanak berkata mereka berjalan sejauh 15 kilometer ke sekolah, dan terpaksa berjalan sebelum subuh ketika haiwan seperti dubuk masih berkeliaran.

    Seorang pegawai dari agensi taman negara bercakap tentang faedah hidupan liar kepada masyarakat seperti pelancongan. Beliau menunjukkan renjer wanita yang direkrut baru-baru ini sebagai contoh bagaimana hidupan liar boleh mewujudkan pekerjaan untuk penduduk tempatan. Beliau menggalakkan mereka untuk menyampaikan mesej itu kepada ibu bapa mereka – ramai yang menganggap haiwan liar sebagai musuh atau sumber makanan.

    Alphonce Chimangaisu, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sekolah di Sekolah Menengah Chiyambiro, berkata ibu bapa berharap inisiatif itu akan menjadikan kanak-kanak lebih selamat.

    “Ada ibu bapa yang menghalang anak mereka ke sekolah kerana tidak tahu apa yang mungkin berlaku,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda