Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Pasukan Kasuka FC dijangka akan mewakili Negara Brunei Darussalam pada Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee 2024/2025 yang akan diadakan pada Julai nanti.
Kejohanan berkenaan akan disertai oleh pasukan-pasukan juara dan naib juara bagi kejohanan liga kebangsaan dari Indonesia, Malaysia dan Vietnam.
Pasukan Filipina dan Republik Singapura juga dijemput bagi kejohanan berprestij anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) itu.
Sementara itu, pasukan bola sepak Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Laos dan Myanmar akan bersaing pada perlawanan kelayakan untuk mencari slot dua pasukan terbaik untuk mara ke peringkat kumpulan.
Kejohanan berkenaan menjadi landasan terbaik kepada kelab-kelab bola sepak ASEAN untuk meningkatkan kemajuan dan kejayaan pada peringkat antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei (FABD), Feisal Eusoff berlepas ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam atas jemputan AFF bagi menyaksikan majlis pengundian bagi kejohanan berkenaan.
Juga menyertai Presiden FABD ialah ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD, Pengiran Haji Waslimin bin PSL Pengiran Haji Abdul Momin.