Thursday, January 9, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kawasaki Honeycarsmart Honor juara Super Smasher 2024

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Pasukan Kawasaki Honeycarsmart Honor muncul juara bagi Kejohanan Badminton Berpasukan Super Smasher 2024 yang berlangsung sejak 17 November lalu dan telah berakhir hari ini, di Dewan Riadah, Pusat Belia.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

    Pada perlawanan akhir tersebut, pasukan Kawasaki Honeycarsmart Honor berjaya mengalahkan pasukan TDL A dengan keputusan 3-2. Turut berlangsung secara serentak ialah perlawanan bagi menentukan tempat ketiga antara pasukan Jotech Peradian’BT dan V11 ACE’s, yang dimenangi oleh pasukan Jotech Peradian’BT.

    Juara menerima hadiah wang tunai $1,200, piala dan pingat. Sementara itu, naib juara menerima hadiah wang tunai $840 beserta pingat dan tempat ketiga menerima hadiah wang tunai $600 dan juga pingat.

    Kejohanan Super Smasher 2024 merupakan penganjuran kali kedua Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Sebanyak 24 pasukan menyertai kejohanan tahun ini yang melibatkan 288 pemain badminton dari seluruh negara, yang mana 51 orang daripadanya merupakan pemain muda berumur antara 12 hingga 20 tahun untuk bertanding dalam Kategori Beregu Lelaki Bawah 21 tahun (B21).

    Pengenalan Kategori B21 pada edisi kali ini bertepatan dengan tujuan kejohanan diadakan, iaitu untuk memberikan peluang dan pendedahan kepada pemain-pemain muda berbakat, selain membolehkan PBKBD mencari pemain berpotensi untuk mewakili Negara Brunei Darussalam mengikuti kejohanan di peringkat serantau.

    Turut hadir ialah Presiden PBKBD, wakil-wakil dari syarikat penaja dan pegawai-pegawai JBS, KKBS.

    Para peserta kejohanan bergambar ramai semasa acara tersebut. – GAMBAR SERAHAN PBKBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda