Monday, December 16, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemboja rai 32 tahun Angkor Wat sebagai tapak warisan dunia

    SIEM REAP, 15 DIS – Kemboja kelmarin telah memulakan acara Kesyukuran Angkor selama tiga hari di Taman Arkeologi Angkor, yang menampilkan upacara keagamaan, perarakan dan persembahan seni tradisional.

    Hadir pada majlis pembukaan acara berkenaan ialah isteri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Pich Chanmony, bersama Menteri Kebudayaan dan Seni Halus, Phoeurng Sackona.

    “Acara ini diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-32 penyertaan Angkor dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO pada 14 Disember 1992,” kata Chanmony dalam ucapannya di hadapan lebih 2,000 peserta.

    “Ia juga bertujuan menghormati raja-raja dan nenek moyang dari generasi terdahulu, yang telah membina kuil-kuil di Taman Arkeologi Angkor. Kuil-kuil itu memberi manfaat besar kepada negara dan rakyat kita,” tambahnya.

    Sackona pula menyatakan bahawa ia merupakan tahun keempat Kemboja menyambut acara berkenaan, yang juga bertujuan menggalakkan generasi baharu menyumbang kepada perlindungan, pemuliharaan dan pembangunan warisan budaya negara.

    Taman Arkeologi Angkor, yang meliputi kawasan seluas 401 kilometer persegi, menempatkan 91 kuil purba yang dibina antara abad ke-9 hingga abad ke-13, di mana ia telah menarik 898,339 pelancong antarabangsa dalam tempoh Januari hingga November 2024, peningkatan 28.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan sebuah syarikat milik kerajaan Kemboja, Angkor Enterprise.

    Laporan itu juga menyebut bahawa tapak berkenaan menjana pendapatan berjumlah hampir AS$42 juta daripada hasil jualan tiket sepanjang tempoh tersebut, meningkat sebanyak 28.7 peratus. – Xinhua

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda