Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes baharu COVID menurun

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Jumlah pesakit dalam Kategori 4 bertambah empat orang, menjadikan jumlah keseluruhan dalam kategori tersebut pada masa ini 21 kes, manakala Kategori 5 kekal tujuh kes, yang merupakan 10.8 peratus daripada keupayaan rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    “Sebanyak 2,278 kes baharu telah dilaporkan, membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 114,371 orang,” jelas Yang Berhormat Dato. Daripada jumlah kes baru itu, 2,101 adalah hasil ujian ART yang telah dimuat naikkan ke aplikasi BruHealth manakala 177 adalah daripada hasil 1,685 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Sementara itu, 5,420 kes telah disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan kepada 83,761 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 30,440 kes,” tambahnya.

    Beliau turut mengongsikan bahawa pada masa ini, kadar pengisian katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara ialah sebanyak 7.1 peratus.

    Dalam pada itu, 252 kes aktif sedang menerima rawatan di pusat-pusat pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 30,188 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin (13 Mac), Yang Berhormat Dato menjelaskan bagi mereka yang menerima tiga dos vaksin ialah 58.6 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini manakala kadar satu dos dan dua dos adalah masing-masing melebihi 94 peratus.

    “Marilah kita memohon ke hadrat Allah SWT semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada segala mara bahaya, semoga semua rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan dari segala penyakit khususnya penyakit COVID-19,” kata Yang Berhormat Dato di hujung kenyataannya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan statistik harian COVID-19. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda