Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Sistem Bru-HIMS kini telah ditambah baik dengan Picture Archiving and Communication System (PACS) yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan, hari ini.
Pelancarannya pada majlis yang berlangsung di Tingkat 2, Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku tetamu kehormat majlis.
Timbalan Ketua Jabatan Radiologi, Dr Nor Lenny binti Haji Abdullah dalam ucapannya selaku pengerusi majlis menjelaskan bahawa projek Bru-HIMS PACS merupakan salah satu usaha menambah baik dan menaik taraf keupayaan sistem Bru-HIMS yang sedia.
Ia telah mula dilaksanakan pada awal 2019 dan dikategorikan di bawah Highly Specialized Quadrant dalam Local Business Development Framework (LBD).
“Projek ini juga merupakan projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11 (RKN 11) yang menerapkan konsep yang sama seperti Bru-HIMS iaitu Satu Pesakit, Satu Rekod,” tambahnya.
Beliau menjelaskan, sistem Bru-HIMS PACS adalah teknologi digital dalam pengimejan perubatan yang sentiasa berkembang untuk penyimpanan, pengurusan, pengedaran, akses yang mudah dan paparan imej perubatan yang berkualiti dan lebih jelas.
Objektif utama penyediaan sistem itu, menurut Dr Nor Lenny, adalah untuk memperbaiki situasi dan permasalahan yang sering dialami seperti kehilangan atau ketidaksediaan filem x-ray, keperluan imej atau data pesakit
di tempat berbeza pada masa yang sama, ruang penyimpanan yang semakin penuh dan sebagainya; dan seterusnya untuk memperkemas dan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kecekapan dalam proses membuat keputusan dan rawatan kepada pesakit-pesakit.
Sistem PACS diintegrasikan dengan sistem Bru-HIMS dan disambungkan kepada pelbagai peralatan pengimejan perubatan di bawah Jabatan Radiologi dan Jabatan Kardiologi di setiap hospital kerajaan, pusat-pusat kesihatan dan klinik-klinik kesihatan di negara ini.
Menurutnya lagi, Sistem PACS membolehkan akses yang cepat dan serentak, dan ketersediaan imej-imej pesakit dari mana-mana terminal komputer Bru-HIMS, pada bila-bila masa dan di mana saja diperlukan; dan dengan itu akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan pengurangan masa menunggu bagi pesakit untuk mendapatkan rawatan.
“Pengurangan kos dari segi pengurangan penggunaan filem imbasan X dan kertas kerana keperluan untuk mencetak hardcopy yang berkurangan, dan pengurangan keperluan tempat penyimpanan dan tenaga kerja untuk mengambil dan mencari rekod imej pesakit adalah juga hasil yang disasarkan dalam projek ini,” tambah beliau.
Beliau turut mengongsikan beberapa perubahan positif yang telah dilihat sejak sistem Bru-HIMS PACS itu mula digunakan dalam perkhidmatan radiologi.
Antaranya ialah pengurangan pencetakan filem imbasan X sebanyak 99 peratus, yang secara tidak langsung menyumbang kepada mengurangkan kos bagi pembeliannya; dan kakitangan klinik di hospital-hospital tidak lagi datang secara fizikal ke Jabatan Radiologi untuk mengambil atau mengembalikan filem imbasan X pesakit, yang lazimnya dilakukan sebelum adanya sistem Bru-HIMS PACS.
“Ini secara tidak langsung telah memberikan kepuasan kepada para doktor kerana imej-imej pesakit mereka dapat diakses di dalam terminal Bru-HIMS dan memudahkan para doktor menerangkan kepada pesakit mengenai keputusan pemeriksaan mereka. Dengan itu, ia memberikan kepuasan pesakit terhadap perkhidmatan yang diberikan,” ujarnya.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, menjelaskan bahawa Sistem PACS terdiri daripada dua komponen iaitu PACS Radiologi bagi penyimpanan dan arkib imej radiologi; dan PACS Kardiologi bagi penyimpanan dan arkib imej kardiologi termasuk elektrokardiogram (ECG).
Ketua Jabatan Kardiologi, Dr Sofian bin Dato Dr Haji Johar dalam ucapannya menjelaskan, PACS Kardiologi akan meningkatkan prestasi, penyimpanan dan pelaporan semua penyiasatan kardiologi di seluruh negara.
Dr Sofian memberikan contoh di mana ECG adalah salah satu penyiasatan utama yang digunakan untuk mendiagnosis serangan jantung.
“Penyakit jantung merupakan antara punca utama kematian di Negara Bru-nei Darussalam dan pengecaman awal serangan jantung bagi membolehkan rawatan pantas adalah salah satu cara untuk mengurangkan beban penyakit jantung,” kata beliau.
Sebagai sebahagian projek tersebut, beliau mengongsikan bahawa 88 mesin ECG baharu telah diperolehi bagi menggantikan mesin sedia ada dan diedarkan ke kebanyakan hospital dan pusat kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan.
“Sekarang ECG boleh dilakukan di mana-mana pusat kesihatan di negara ini dan hasilnya boleh dihantar dengan segera ke Sistem PACS Kardiologi yang baharu dan pakar-pakar perubatan dan kardiologi boleh melihat keputusan ECG untuk membantu mendiagnosis serangan jantung dan merancang rawatan dengan sewajarnya,” jelasnya.
Selepas melancarkan PACS dan menyaksikan tayangan video mengenai PACS, Yang Berhormat Menteri Kesihatan membuat lawatan ke Jabatan Radiologi dan Jabatan Kardiologi bagi menyaksikan demonstrasi secara langsung penggunaan dan aplikasi sistem tersebut dalam pengurusan dan penyediaan perkhidmatan radiologi dan kardiologi.