Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Kewangan Islam merupakan tema yang menyeluruh dalam agenda pembangunan sektor kewangan negara selaras dengan visi bagi Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah hab kewangan Islam.
Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) sebagai bank pusat negara, meneruskan usaha dan komitmen kepada melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang digariskan dalam Pelan Tindakan Sektor Kewangan Brunei Darussalam 2016-2025 (FSBP).
Dalam landskap pengawal-seliaan kewangan Islam, BDCB telah membuat perkembangan signifikan dalam penggubalan piawaian syariah untuk memudahkan penyelarasan dan inovasi produk, di bawah bimbingan Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah (SFSB).
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan BDCB, Hajah Rokiah binti Haji Badar selaku Pengerusi Brunei Institute of Leadership and Islamic Finance (BILIF) dalam kata alu-aluannya pada Sidang Kemuncak Kewangan Islam Brunei (BIF) 2023 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
Hadir pada majlis berkenaan bagi mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku Pengerusi BDCB; Pemangku Ketua Pengarah, Islamic Development Bank Institute (IsDBI), Dr Sami Al-Suwailem, wakil World Bank Group, Radzuan Tajuddin, jemputan khas serta peserta sidang kemuncak berkenaan.
Dalam kata alu-aluannya lagi, Hajah Rokiah menyatakan bahawa BDCB telah mengeluarkan Notice on the Application Process of Islamic Products untuk mempertingkatkan proses kelulusan bagi produk-produk baharu, Notice on Takaful Operational Framework and Guidelines on Issuance of Debentures yang menetapkan standard yang diperlukan pada sebarang penerbitan, tawaran atau pembelian debentur, termasuk sukuk di Negara Brunei Darussalam.
Dalam hubungan itu, beliau berharap perkembangan itu akan dimanfaatkan oleh pemain-pemain industri supaya bersama mereka dapat mencapai agenda kemampanan dan menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.
Hajah Rokiah seterusnya menyatakan, dimaklumi bahawa kewangan Islam memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan pembangunan lestari dan dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan selaras dengan matlamat ketiga Wawasan Brunei 2035 iaitu menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah ekonomi yang mampan dan dinamik.
Oleh itu, beliau berharap semua pemimpin, pakar dan profesional akan memanfaatkan sepenuhnya sidang kemuncak berkenaan untuk belajar, berkongsi idea, mengembangkan perspektif mereka serta menyumbang ke arah pertumbuhan kewangan Islam bukan sahaja dalam Brunei tetapi juga secara global.
Sidang Kemuncak BIF 2023 dianjurkan oleh BILIF dengan kolaborasi IsDBI dan World Bank Group dengan membawa tema Securing a Resilient & Sustainable Future through Innovative Islamic Finance, yang diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023.
Sidang kemuncak berkenaan menyediakan platform bagi penceramah, ahli-ahli panel dan peserta untuk berinteraksi dalam kaedah yang bermakna bagi membincangkan isu-isu utama, peluang dan cabaran-cabaran dalam ruang kewangan Islam.
Ia juga mengetengahkan potensi yang amat besar kewangan Islam dalam membuka jalan ke arah masa hadapan yang lebih berdaya tahan dan mampan.