SAN FRANCISCO, 7 JULAI – Pemain Korea Selatan, Kim Hyo-joo dan pemain China, Lin Xiyu berkongsi pendahuluan pusingan pertama di Terbuka Wanita Amerikat Syarikat (AS) selepas mencatatkan 4-bawah par pusingan 68 di Pebble Beach semalam.
Kim, yang sedang mencari gelaran juara utama kedua selepas memenangi Kejohanan Evian pada tahun 2014, memulakan pusingannya dengan empat birdie sebelum membuat bogey di lubang kesembilan.
Pemain berusia 29 tahun itu hanya berjaya mendapatkan satu birdie lagi, di lubang kedua terakhir, tetapi gembira kerana berjaya mengelak bogey pada sembilan lubang terakhir.
“Saya agak risau dengan sembilan lubang pertama, tetapi saya dapat bermain dengan baik,” katanya.
“Kemudian pada sembilan lubang terakhir, saya menghadapi beberapa situasi yang berisiko, tetapi saya dapat mencapai par setiap kali, dan saya sangat puas dengan prestasi keseluruhan saya hingga ke penghujung,” tambahnya.
Kim adalah naib juara Terbuka Wanita AS 2018, kalah dalam perlawanan akhir kepada Ariya Jutanugarn dari Thailand di Shoal Creek, Alabama, tetapi katanya dia tidak terlalu memikirkan kekalahan tersebut dan lebih fokus kepada prestasinya pada masa kini.
“Ini adalah kejohanan baharu, padang golf baharu, jadi saya mempunyai pemikiran baharu,” katanya. “Prestasi baik saya hari ini memberikan keyakinan kepada saya,” katanya.
Lin sedang mencari gelaran major pertamanya selepas meraih tujuh kemenangan dalam Jelajah LPGA China dan dua kemenangan dalam Jelajah Eropah.
Dia mencatatkan lima birdie dan satu bogey pada lubang kesembilan yang merupakan lubang terakhirnya, tetapi dia gembira dengan cara permainan pendeknya yang memastikan dia dapat mengelak bogey selanjutnya. – AFP