Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konsert sulung Drama Band full house

    Impian peminat mahu menyaksikan Drama Band mengadakan persembahan di atas pentas besar tercapai apabila kumpulan itu tampil dengan konsert sulung The Hardest Malam Drama pada malam Sabtu lalu.

    Menurut mStar, konsert yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur itu dibanjiri dengan kehadiran hampir 2,000 peminat yang rata-rata teruja untuk melihat kumpulan berkenaan.

    “Konsert sulung Drama Band ini merupakan mimpi kami yang berjaya menjadi kenyataan, setelah 14 tahun usia Drama Band. Sangat teruja, konsert kami full house!” kata Drama Band.

    Kumpulan tersebut dianggotai oleh Aepul Roza (vokalis), Daus (gitar bes), Adib (gitaris), Padel (gitaris), Syahmir (keyboard) dan Faeez (Drum).

    Sebelum Drama Band tampil di atas pentas, penyanyi Sharul Kamal, Yus Zainal, Tekki Band dan Madam Band terdahulu muncul membuka tirai persembahan.

    Dalam konsert berkenaan, Drama Band membuktikan bahawa mereka bukan sekadar penyanyi lagu ‘jiwang’, sebaliknya turut menampilkan sisi berbeza.

    Malah sepanjang empat jam konsert berlangsung, pelbagai elemen unik seperti aksi lasak ditampilkan Aepul bersama penari profesional.

    Antara aksi ‘stunt’ yang memukau termasuklah lompatan tinggi, bermain trampolin, memijak serpihan kaca dan mengimbangkan badan di atas papan luncur serta bermain dram hidraulik.

    Difahamkan konsert itu diinspirasikan dari persembahan ‘gila’ Aepul ketika bertanding menerusi program realiti, The Hardest Singing Show. – Agensi

    Aepul membuktikan bahawa dia seorang penyanyi yang versatil. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda