Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kudis buta ancam penghuni kem di Gaza

    GAZA, 5 JULAI – Kira-kira dua juta penghuni kem perlindungan di tengah Semenanjung Gaza terus dihimpit kesukaran hidup, kini berdepan dengan penularan kudis buta, iaitu sejenis penyakit kulit yang amat mudah berjangkit.

    Pengarah Pusat Perubatan di Pusat Perlindungan Al-Nakheel di Bandar Deir al-Balah, Semenanjung Gaza, Sami Ahmed, mengeluarkan amaran ‘tentang bencana alam sekitar baharu di kem-kem perlindungan  berkenaan kudis dan penyebarannya.’

    “Kem-kem perlindungan sedang menghadapi bencana wabak berkaitan kulit terutama kudis buta dan penyebarannya yang cepat sangat membimbangkan ekoran kepadatan penduduk yang besar,” katanya seperti dipetik Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

    Beliau mengaitkan penyebaran kudis dengan ‘pembentukan kolam kumbahan, yang merupakan persekitaran yang subur untuk pembiakan serangga dan vektor penyakit termasuk hama’.

    “Selama sembilan bulan, tiada mana-mana badan tempatan, antarabangsa atau awam mengepam air kumbahan ke loji rawatan ekoran gangguan bekalan elektrik. Kolam kumbahan terus terbiar dan ini telah menyebabkan penularan pelbagai penyakit bawaan air dan serangga, antaranya kudis inilah,” katanya.

    Kanak-kanak Palestin yang menghidap kudis menerima penjagaan di dispensari di kem perlindungan di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza pada 4 Julai lalu. – AFP

    Memburukkan lagi keadaan ialah kekurangan ubat-ubatan dan petugas perubatan, ketiadaan air bersih dan alatan sanitasi yang membawa kepada komplikasi teruk kepada pesakit dan cedera”, katanya.

    Sejak permulaan pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza 7 Oktober lepas, pelbagai badan kesihatan, hak asasi manusia dan organisasi serta institusi antarabangsa telah memberi amaran tentang penyebaran penyakit dan wabak dalam kem-kem perlindungan di Gaza akibat kesesakan luar biasa dan ketiadaan alatan sanitasi asas.

    Sumber perubatan mengesahkan bahawa beribu-ribu pesakit di Semenanjung Gaza berdepan risiko kematian akibat kekurangan ubat-ubatan dan kemusnahan sistem kesihatan akibat serangan ganas Israel.

    Dalam konteks yang sama, Ahmed berkata penyakit dan wabak lain juga sedang merebak di dalam kem termasuk cacar dan dermatitis akut, yang disebarkan oleh nyamuk.

    Ahmed berkata, “Jika ubat-ubatan dan rawatan untuk penyakit kulit ini tersedia di Semenanjung Gaza, ia adalah suatu ‘keajaiban’. Sangat sukar.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda