Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan monyet mati di Taman Zoologi dan Botani Hong Kong

    HONG KONG, 14 OKT – Satu bahagian zoo tertua di Hong Kong ditutup hari ini selepas lapan monyet, termasuk tiga daripada spesies terancam ditemui mati, kata satu kenyataan kerajaan.

    Pegawai zoo sedang menyiasat punca kematian monyet itu, yang terdiri daripada seekor Monyet De Brazza, seekor Monyet Tupai, tiga Tamarin dan tiga Sakis Bermuka Putih, kata Jabatan Perkhidmatan Riadah dan Kebudayaan (LCSD) dalam satu kenyataan.

    “Ujian nekropsi dan makmal telah diatur segera untuk membantu mengetahui punca kematiannya,” katanya.

    Tamarin yang merupakan sejenis monyet kecil yang tinggal di pokok berasal dari hutan tropika Amerika Selatan dianggap sebagai salah satu spesies mamalia paling terancam di dunia.

    Kurang daripada 6,000 hidup di alam terbiar, menurut Zoo Negara dan Institut Biologi Pemuliharaan Smithsonian.

    Menerusi rakaman berita televisyen, bahagian zoo mamalia itu telah dikelilingi oleh pagar besi penghalang dan pita plastik, manakala notis penutupan diikat pada pintu pagar.

    “Sementara menunggu keputusan ujian, bahagian zoo mamalia tersebut akan ditutup mulai hari ini untuk kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan,” kata kenyataan LCSD.

    Monyet yang mati adalah antara 93 mamalia yang dipelihara di Taman Zoologi dan Botani Hong Kong, sebuah oasis seluas 5.6 hektar di kawasan tengah bandar berprestij itu yang turut menempatkan reptilia dan burung.

    Taman-taman yang terdapat di kawasan tersebut telah diubah daripada bekas rumah agam rasmi gabenor kolonial British dan dibuka kepada orang ramai pada tahun 1871, dengan memulakan koleksi zoologinya tidak lama kemudian. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda