Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 500 orang ditangkap di Dhaka

    DHAKA, 22 JULAI – Lebih 500 orang, termasuk beberapa ketua-ketua pembangkang, telah ditangkap di Dhaka kerana keganasan yang telah melanda Bangladesh dan mengorbankan 163 orang sejak para pelajar mula membantah peraturan pengambilan perkhidmatan awam, kata polis, hari ini.

    Bermula sebagai demonstrasi menentang sistem kuota dalam pekerjaan sektor kerajaan yang dipolitikkan, kini telah berubah menjadi beberapa pergolakan paling teruk dalam tempoh pimpinan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.

    Perintah berkurung telah dikenakan dan askar sedang meronda bandar-bandar di seluruh negara Asia Selatan itu, manakala penghentian internet di seluruh negara sejak Khamis lalu telah menyekat aliran maklumat ke dunia luar secara drastik.

    “Sekurang-kurangnya 532 orang telah ditangkap kerana keganasan” sejak pergolakan bermula, jurucakap Polis Metropolitan Dhaka, Faruk Hossain memberitahu AFP.

    “Mereka termasuk beberapa pemimpin BNP,” tambahnya, merujuk kepada parti pembangkang Bangladesh National Party.

    Mahkamah tertinggi Bangladesh, kelmarin, mengurangkan kuota pengambilan pekerja bagi kumpulan tertentu untuk pekerjaan kerajaan, yang dilihat selamat dan yang dimahukan.

    Tetapi keputusan itu gagal memujuk pemimpin-pemimpin pelajar universiti, yang demonstrasi menentang skim kuota telah mencetuskan pertempuran di seluruh negara yang telah mengorbankan 163 orang, termasuk beberapa pegawai polis, menurut kiraan AFP mangsa yang dilaporkan oleh polis dan hospital.

    Jurucakap Pelajar Menentang Diskriminasi, kumpulan utama yang bertanggungjawab menganjurkan protes, memberitahu AFP, “Kami tidak akan membatalkan protes kami sehingga kerajaan mengeluarkan perintah yang memenuhi tuntutan kami.”

    Seorang profesor politik dan pakar terkemuka Bangladesh di Illinois State University, Ali Riaz, menyifatkan keganasan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai paling teruk oleh mana-mana rejim sejak merdeka. – AFP

    Anggota tentera Bangladesh mengawal dekat penghadang kawat berduri di tengah-tengah perintah berkurung berikutan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan, di Dhaka pada 22 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda