LONDON, 21 JULAI – Pasukan bola keranjang Sudan Selatan hampir memberikan kekecewaan kepada pasukan bintang NBA Amerika Syarikat (AS) kelmarin sebelum tewas 101-100 dalam perlawanan pemanas badan Sukan Olimpik.
LeBron James, 39, pendahulu penjaring NBA sepanjang masa, mencatatkan 25 mata tertinggi dalam permainan, termasuk mata penentu pada layup dengan baki lapan saat di Arena O2, London.
Sudan Selatan, yang mendahului pada saat akhir separuh masa dengan 58-44 bersedia untuk melakukan kejutan terbesar dalam bola keranjang antarabangsa sebelum James menjadi wira pada perlawanan itu.
“Pengakhirannya adalah baik untuk kami bagi merasai pengalaman bersaing di Paris,” kata jurulatih AS, Steve Kerr.
“Pengalaman yang baik untuk kami. Ia juga peringatan yang baik apabila kami bermain menentang beberapa pasukan, ia adalah pengalaman terbesar dalam hidup mereka dan kami perlu mengharapkan semua orang bermain seperti itu,” ujarnya lagi.
J.T. Thor, yang telah bermain untuk Charlotte Hornets NBA sejak tiga musim lalu, melakukan jaringan tiga mata ketika berbaki 20 saat untuk meletakkan Sudan Selatan mendahului 100-99.
Selepas James membuat jaringan kemenangan, Sudan Selatan mempunyai satu penguasaan terakhir tetapi Carlik Jones terlepas lompatan dengan baki enam saat di samping dua percubaan tersasar yang dilakukan oleh Wenyen sebelum buzzer terakhir. – AFP