Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Maghribi, dunia berduka pemergian Rayan

    IGHRANE, 6 FEB – Rakyat Maghribi dan seluruh dunia meratapi pemergian Rayan Oram, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia selepas terperangkap selama lima hari di dalam telaga sedalam 32 meter, hari ini.

    Pasukan penyelamat Maghribi berjaya mengeluarkan budak lelaki itu dari dasar perigi namun penyelamatan itu berakhir dengan tragik apabila Rayan tidak lagi bernyawa.

    Kisah Rayan jatuh ke dalam perigi sejak Selasa lalu mendapat perhatian global dan mencetuskan rasa simpati dalam talian, dengan ‘tanda pagar’ ‘SaveRayan’ menjadi trending.

    Sepanjang operasi untuk mengeluarkannya dari dasar telaga itu, pasukan penyelamat memberi peringatan mereka tidak tahu sama ada kanak-kanak itu masih hidup atau sebaliknya.

    Penantian selama lima hari berakhir dengan kesedihan selepas pihak Istana Maghribi mengumumkan Rayan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.

    Damailah di sana…Pasukan kecemasan Maghribi meletakkan jasad kanak-kanak berusia 5 tahun, Rayan Oram ke dalam ambulans selepas berjaya mengeluarkannya dari perigi sedalam 32 meter lewat kelmarin. – AFP

    “Susulan kemalangan tragis mengorbankan nyawa kanak-kanak, Rayan Oram, Raja Mohammed VI memanggil ibu bapa kanak-kanak itu yang maut selepas terjatuh ke dalam perigi,” menurut kenyataan terbabit.

    Dalam operasi semalam, pasukan penyelamat menggunakan jentolak, menggali tanah merah di sekeliling telaga sehingga ke paras kanak-kanak itu terperangkap dan pasukan penggerudi turut menggali terowong mendatar untuk mencapainya dari bahagian sisi.

    Tetapi operasi penggalian menjadi perlahan apabila pasukan penggerudi terpaksa mengorek dengan tangan untuk mengelakkan gegaran yang mungkin menyebabkan tanah runtuh dan menimpa Rayan.

    Ibu bapa Rayan dilihat berjalan menuruni cerun ke dalam terowong mendatar, kelihatan amat sedih sebelum kembali dan menaiki ambulans tanpa sepatah kata manakala penduduk dan orang awam mula meninggalkan lokasi dalam perasaan hiba.

    Keluarga budak itu masih belum mengumumkan tarikh pengebumian, tetapi menurut tradisi Islam, ia mesti dilakukan segera, mungkin hari ini.

    Pemergian Rayan turut mengundang rasa simpati pemimpin dan tokoh dunia termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang turut berkongsi penderitaan dialami Rayan dan keluarganya.

    Pemain tengah AC Milan dari Algeria, Ismael Bennacer turut bersedih dengan nasib menimpa Rayan dan berkongsi perasaannya di Twitter. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...